Tiga premis lombong mata wang kripto curi elektrik di Seri Iskandar, diserbu
PARIT, 13 Jan — Polis menyerbu tiga premis menjalankan perlombongan mata wang digital atau kripto yang disyaki mencuri elektrik secara sambungan haram di sekitar Seri Iskandar di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya bersama pasukan operasi dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan serbuan kira-kira 4 petang hingga 7 malam semalam.
Beliau berkata pihaknya turut menahan tujuh lelaki yang juga penjaga premis berkenaan yang berusia lingkungan 20-an untuk disoal siasat.
“Siasatan awal menunjukkan kuantiti penggunaan elektrik di premis berkenaan terlalu tinggi dan menjurus kepada kegiatan mencurigakan yang tidak sepadan dengan kadar penggunaan suatu premis perniagaan.
“Selain itu, ada rungutan terutama peniaga di bangunan premis itu yang mendakwa terdapat bunyi kuat yang mengganggu operasi kedai dan ketenteraman pengguna lain dipercayai kesan aktiviti perlombongan mata wang kripto itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Barudin berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 154 unit mesin server Bitcoin bersama bekalan kuasa, 23 unit papan pemuka Bitcoin, sejumlah gulung wayar elektrik jenis tembaga, dua set lengkap komputer dan lima kotak suis pengagihan kuasa elektrik utama.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti rangkaian sindiket ini dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab,” katanya.
— BERNAMA