Tugas polis semakin kompleks berdepan dunia digital – Hamzah

KUALA LUMPUR,. Tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mudah apabila berdepan dengan pelbagai situasi dan cabaran keselamatan negara, bahkan ia lebih kompleks dalam dunia digital sekarang ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan sahaja berhadapan dengan jenayah konvensional malah ancaman pengganas yang adakalanya amat luar biasa.
“Oleh itu, PDRM perlu menanganinya secara strategik, tegas dan berkesan. Kerajaan amat berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan demi memastikan negara kekal selamat dan terjamin.

“Memandangkan negara di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka pada tahun ini tiada sambutan Peringatan Hari Polis ke-213 diadakan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota PDRM dan keluarga atas pengorbanan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Polis ke-213 yang disambut hari ini (25 Mac).

Hamzah mengharapkan agar anggota PDRM akan terus memberikan khidmat terbaik kepada negara sebagai petugas barisan hadapan yang diamanahkan untuk menguatkuasakan PKP ini.

“Saya berdoa semoga usaha kerajaan dan kita semua dapat membendung penularan COVID-19 dengan jayanya, insyaAllah.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bersama-sama dengan PDRM iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan kesemua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Hamzah juga mengucapkan syukur kerana rakyat memahami arahan PKP dan secara keseluruhan tahap kepatuhan sudah bertambah baik bahkan jumlah kes ketidakpatuhan juga semakin berkurangan.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada anggota PDRM dan keluarga yang terdedah dan dijangkiti COVID-19.

“Dalam waktu yang getir ini, saya berdoa agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi cabaran ini dan kembali sembuh secepat mungkin, KDN akan memastikan kebajikan mereka dan ahli keluarga terbela,” katanya.

Hamzah berkata dalam memastikan kedaulatan negara dan ketenteraman awam terus terjamin, beliau memohon agar rakyat memahami bahawa tanggungjawab ini bukan sahaja terletak di bahu PDRM bahkan ia adalah tanggungjawab bersama.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-213. Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat mereka demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan Negara Malaysia. Yakinlah, ia satu khidmat yang mulia dan diberkati Allah.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara yang kita sayangi,” katanya.

Hari Polis Ke-213 itu akan disambut secara serentak di seluruh negara pada tarikh baharu dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )