Tunku Azizah syor pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima

KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengesyorkan kepada pihak kerajaan agar mewajibkan semua rakyat Malaysia menerima pendidikan sehingga Tingkatan Lima.

Perkara itu diluahkannya menerusi akaun Twitter rasminya @cheminahsayang selepas baginda meluahkan rasa dukacita apabila mengetahui syarat persekolahan hanya diwajibkan sehingga ke Tahun Enam.

“Saya selama ini menyangka pendidikan wajib ialah sehingga Tingkatan Lima. Hari ini baru saya dapat tahu ia hanya wajib hingga Tahun Enam.

“Jadi, saya ingin mengesyorkan kepada kerajaan Malaysia supaya semua rakyat Malaysia diwajibkan bersekolah sehingga Tingkatan Lima, bagi membasmi kemiskinan dan menghentikan perkahwinan kanak-kanak,” tulisnya.

Seperti biasa, muat naik berkenaan menarik perhatian netizen.

Rata-rata, ramai yang bersetuju dengan pandangan yang diberikan Raja Permaisuri Agong.

Awal tahun ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pernah menyatakan, kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan kanak-kanak melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima.

Katanya, ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah mungkin berdepan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.

Akta tersebut ketika ini hanya mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )