Unimas mulakan program 2U2I tahun depan
KUCHING,. Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan mengguna pakai program dua tahun pembelajaran di universiti dan dua tahun latihan industri (2U2I) mulai tahun depan, dalam usaha meningkatkan kemahiran pelajar, sekaligus memudahkan graduan mendapat kerja.
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata program itu akan memperkenalkan para pelajar dengan pengalaman kerja sebenar dan ‘petunjuk’ terus dari pemain industri sendiri.
“Pendedahan ini bakal mencetuskan idea dan inspirasi kepada pelajar tentang kepentingan berkolaborasi dan membina jaringan dengan pihak industri agar mereka mempunyai kemahiran yang relevan dan berupaya menembusi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif setelah menamatkan pengajian,” katanya.
Program 2U2I ini diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang disasar menghasilkan situasi ‘menang-menang’ buat pihak institusi dan pemain industri.
Menurutnya ketika ini ada 10 universiti menawarkan program berkenaan yang terdiri daripada Universiti Putra Malaysia; Universiti Malaysia Kelantan; Universiti Islam Sultan Zainal Abidin; Universiti Teknologi Malaysia; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Malaysia Terengganu; Universiti Malaya; Universiti Teknologi Mara; Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Mohamad Kadim berkata untuk rekod, hampir 83 peratus daripada graduan baharu Unimas berjaya memperoleh pekerjaan tahun lepas, lebih tinggi berbanding statistik yang disebut oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di persidangan Dewan Raykat baru-baru ini.
Beliau berkata pihak universiti akan terus menambah baik program-program yang ditawarkan bagi menyesuaikannya dengan keperluan pemain industri, dan ini termasuk sesi perjumpaan dengan mereka dan juga alumni universiti.
“Kita juga membuat semakan kurikulum dan program melibatkan pemegang taruh daripada Industri dan juga pakar bidang bagi memastikan kelestarian program dan kualiti graduan yang dihasilkan, selain melibatkan penglibatan industri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran sebagai pensyarah jemputan dan penilai projek-projek pelajar yang berkaitan,” katanya.
— BERNAMA