Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah

Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatatkan dagangan yang agak tinggi untuk seketika semasa dibuka untuk urus niaga pagi ini sebelum susut selepas kemunculan kegiatan pengambilan untung yang membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.0 mata kepada 1,531.06 daripada penutupan Jumaat pada paras 1,532.06.

Indeks utama dibuka 0.83 mata lebih tinggi pada 1,532.89.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi dengan 229 berbalas 198 manakala 346 kaunter tidak berubah, 1,540 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 379.37 juta unit bernilai RM209.13 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangkakan bursa tempatan akan bergerak secara mendatar dengan kebanyakan pelabur akan memberi tumpuan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan hari ini.

“Indeks FBM KLCI ditutup tidak menentu minggu lepas dan berada dalam zon negatif, mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran merentasi China dan Hong Kong yang agak bimbang dengan isu hutang syarikat Evergrande China,” katanya sambil menambah indeks utama telah diheret turun terutamanya oleh saham Tenaga dan kaunter berwajaran tinggi perbankan terpilih.

“Bagi komoditi, harga minyak mentah meningkat melepasi paras AS$78 setong sementara harga minyak sawit pula menunjukkan penyusutan,” tambahnya.

Sementara itu, kadar vaksinasi dewasa juga telah meningkat kepada 83.1 peratus, katanya dan jangkaan kerajaan untuk membuka semula sempadan antara negeri dalam tempoh tiga minggu ini akan memberi manfaat kepada kaunter penerbangan dan pelancongan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.10 dan Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.03, sementara Petronas Chemicals naik 2.0 sen kepada RM8.13, IHH Healthcare menambah 6.0 sen kepada RM6.70 dan TNB lebih tinggi 4.0 sen kepada RM9. 90.

Bagi saham aktif, DNex kekal pada 81 sen, Impiana Hotels menokok 1.5 sen kepada 9.0 sen, KNM meningkat 1.0 sen kepada 24 sen, sementara TFP Solutions turun 1.0 sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 0.84 mata kepada 11,276.85, Indeks FBMT 100 turun 4.53 mata kepada 10,968.99, Indeks FBM Emas Syariah susut 1.74 mata kepada 12,302.29, FBM 70 meningkat 4.08 mata pada 15,015.87 , dan FBM ACE mengembang sebanyak 55.34 mata kepada 7,217.56.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.66 mata kepada 201.22 dan Indeks Perladangan naik 3.83 mata kepada 6,299.48, sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 10.64 mata kepada 15,182.80.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This