Usul undi percaya Pas, satu perkara ‘canggung’ – Anwar

KUALA LUMPUR,. Cadangan PAS untuk membawa ‘usul undi percaya’ ke Dewan Rakyat agar Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri, satu perkara ‘canggung’ yang tidak pernah dibuat mana-mana parti pembangkang sesebuah kerajaan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menganggap ia sebagai tiada asas, Anwar yang juga Presiden PKR berkata perkara itu pada pendapatnya tidak wajar pun diangkat untuk dibincangkan di dalam mesyuarat PH.
“PAS biasalah. Itu usul PAS, kita tidak anggap itu perkara yang serius. Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH). Dia akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi dia. Kita tidak akan tertipu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Alumni Yayasan Anda Akademik (YAA) di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isterinya.
Terdahulu, Anwar yang juga pengasas, pengarah dan guru di YAA, sebuah sekolah swasta yang diwujudkan sejak 1971, berkongsi pengalaman dan suka duka bersama bekas tenaga pengajar dan pelajar sekolah berkenaan yang hadir.

Katanya, sejak dari awal lagi sehingga sekarang prinsipnya tetap sama.

“Dari Universiti Malaya, masuk ABIM sehingga ke sekolah ini, apa tema saya? Derita rakyat, bela nasib orang miskin dan kurangkan jurang maha kaya dan miskin dan pastikan semua program ekonomi lebih rancak dan pantas dengan tidak meninggalkan nasib dan derita rakyat,” katanya.

Anwar yang juga mesra dipanggil ‘Cikgu Anwar’ di majlis itu menjadi tenaga pengajar di YAA bagi subjek Pengajian Am, bahasa Inggeris dan Pengajian Islam sekitar tahun 1971 sehingga 1974 sebelum dipenjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menyambung semula khidmatnya dari 1976 sehingga beliau meninggalkan bidang akademik untuk menyertai politik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )