Wanita perlu cekal untuk capai tahap tertinggi dalam organisasi – Ras Adiba

Wanita perlu cekal untuk capai tahap tertinggi dalam organisasi – Ras Adiba

KUALA LUMPUR,. Golongan wanita diseru supaya terus berusaha dan cekal untuk mencapai tahap tertinggi dalam sesebuah organisasi, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Beliau berkata meskipun mereka berdepan dengan halangan dalam menggapai kejayaan itu, kaum hawa perlu melihatnya sebagai satu cabaran untuk maju.

“Tentunya ada sedikit diskriminasi, tetapi ambil itu sebagai cabaran untuk mereka naik (maju). Apa sahaja yang mendatang, kita harus sabar dan terus cekal. Jangan biar kita ditolak ke sana ke sini,” katanya sempena sambutan Hari Wanita semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi rakaman ucapan sempena sambutan Hari Wanita 2021 hari ini berkata penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang masih kurang diberikan perhatian sepenuhnya.

Muhyiddin berkata sehingga Oktober 2020, hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita.

Terdahulu, Ras Adiba melancarkan buku autobiografi “Cinta Agung Ibu” karya Ferri Anugerah Makmur, di sini.

Sementara itu, beliau berpendapat buku berkenaan sarat dengan iktibar dan nilai yang boleh diterapkan dalam kehidupan khususnya bagi generasi muda.

Berkisarkan cinta terlarang yang penuh dengan sejarah, penulis buku itu, Ferri Anugerah Makmur dalam ucapannya menceritakan naskah itu merupakan kisah benar mengenai cinta seorang wanita Tionghua Jawa beragama Buddha dari Solo, Jawa Tengah terhadap kekasihnya yang beragama Islam.

Karya ‘Cinta Agung Ibu’ dijual pada harga RM90 di Semenanjung, manakala RM120 bagi Sabah dan Sarawak.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This