WHO sambut baik keputusan Arab Saudi mengenai haji

GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong keputusan Arab Saudi untuk menghadkan perjalanan haji tahun ini.

Agensi kesihatan dunia itu berkata, mengutamakan kesihatan adalah pilihan yang harus dibuat oleh semua negara ketika mendepani pandemik COVID-19.

Bercakap di Geneva pada Rabu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata persoalan bagaimana perhimpunan melibatkan orang boleh diadakan dengan selamat adalah sangat penting.

“Ketika beberapa negara mulai membuka kembali sosial dan ekonomi mereka, persoalan mengenai bagaimana mengadakan perhimpunan melibatkan sejumlah besar orang dengan selamat menjadi semakin penting.

“Awal minggu ini, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa haji tahun ini akan diteruskan dengan jumlah terhad jemaah haji dari pelbagai negara yang tinggal di dalam negara itu.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko dan analisis senario yang berbeza daripada panduan WHO untuk melindungi keselamatan jemaah haji dan meminimumkan risiko penularan.

“WHO menyokong keputusan ini,” katanya.

Tedros berkata, pihaknya memahami bahawa ia bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat.

“Kami juga faham bahawa ini adalah kekecewaan besar bagi banyak umat Islam yang menantikan untuk menunaikan haji tahun ini.

“Ini adalah satu lagi contoh pilihan sukar yang mesti dibuat oleh semua negara untuk mengutamakan kesihatan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berdasarkan ‘penilaian risiko dan analisis senario yang berbeza’ melalui garis panduan WHO.

Media antarabangsa semalam melaporkan, Arab Saudi akan membenarkan hanya kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di negara itu untuk menunaikan haji tahun ini, berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun lalu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )