122 lagi pesakit sembuh COVID-19 – KP Kesihatan

122 lagi pesakit sembuh COVID-19 – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 2 April — Jumlah kes pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 di Malaysia meningkat lagi hari ini dengan 122 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 767, iaitu 24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah itu juga menyaksikan jumlah pesakit yang sembuh COVID-19 meningkat setiap hari sepanjang minggu ini.

Mengenai perkembangan kes di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Dr Noor Hisham berkata terdapat 11 lagi kes positif baharu dicatatkan di daerah itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 122 kes, setakat ini.

“Di dalam kawasan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam terdapat 89 kes iaitu ada penambahan satu kes lagi dan lokaliti-lokaliti lain ada 33 kes,” katanya.

Beliau berkata bagi jumlah kumulatif kes positif di Sungai Lui daerah Hulu Langat, Selangor yang turut dikenakan PKPD, kawasan itu mencatatkan 287 kes.

“Sebanyak 90 kes direkodkan di Kampung Sungai Lui sahaja yang melibatkan 25 kes menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling dan 65 kes adalah kes kontak rapat, manakala di luar kampung ini ada 197 kes dan 21 antara mereka daripada jemaah tabligh Sri Petaling dan 176 kes kontak rapat dengan mereka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This