31 kes penipuan online beli penutup hidung dan mulut babitkan kerugian RM130,000

31 kes penipuan online beli penutup hidung dan mulut babitkan kerugian RM130,000

GEORGE TOWN, 26 Mac — Polis Pulau Pinang menerima 31 laporan berhubung kes penipuan pembelian penutup hidung dan mulut dalam talian (online) membabitkan kerugian RM130,000 sejak bulan lepas ketika wabak COVID-19 semakin menular.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata berdasarkan siasatan pihaknya mendapati suspek yang menipu mangsa terdiri daripada beberapa sindiket dan individu yang menggunakan identiti orang lain di laman sosial Facebook.

“Setakat ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam kes itu dan usaha mengesan mereka giat dijalankan. Ada sindiket turut menggunakan ‘keldai akaun’ untuk pemindahan wang daripada mangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika membeli penutup hidung dan mulut dalam talian dan jika boleh membelinya di kedai-kedai atau farmasi agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran keras kepada orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih ingkar tanpa memberi sebarang nasihat seperti pada awal pelaksanaan PKP.

Sahabudin berkata sejak 8 malam semalam hingga 2 petang ini, seramai lima orang termasuk dua wanita telah ditahan kerana melanggar perintah PKP dan enggan mengikut arahan polis agar mematuhi perintah tersebut.

“Bermula malam tadi kami memang mengambil tindakan tegas iaitu menahan sesiapa sahaja yang masih ingkar dan berkeliaran tanpa hala tuju atau sebab yang sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac, pihaknya telah memeriksa 37,000 kenderaan dan kebanyakan alasan yang diberikan adalah hendak ke tempat kerja, keluar membeli barangan serta beberapa urusan penting lain.

“Memang ada yang beri alasan tidak logik termasuk keluar makan dan sebagainya, mereka ini kita arahkan untuk berpatah balik ke rumah kerana ia bukan urusan penting atau mahu ke tempat kerja bagi golongan bukan perkhidmatan penting,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This