565 kematian akibat kemalangan elektrik dicatatkan sejak 2002

565 kematian akibat kemalangan elektrik dicatatkan sejak 2002

PENDANG,. Sebanyak 565 kematian dicatatkan membabitkan 1,130 kemalangan elektrik yang berlaku di Semenanjung dan Sabah sejak 2002 sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Mohd Elmi Anas berkata penyumbang terbesar kes kemalangan elektrik, iaitu sebanyak 35.7 peratus adalah disebabkan proses penyelenggaraan serta pemasangan elektrik yang tidak sempurna.

Selain itu, katanya sebanyak 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kes kemalangan itu berlaku disebabkan kegagalan mematuhi prosedur kerja selamat.

“Bagi tahun ini sahaja terdapat empat kes maut kemalangan elektrik dilaporkan iaitu di Pulau Pinang dan Kedah, dan ia peningkatan tiga kes berbanding hanya satu kes yang dicatatkan tahun lalu.

“Kes-kes kemalangan maut ini berlaku di tempat kerja membabitkan antaranya pekerja kilang dan juga pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat ST ‘Touchpoint’ di sini hari ini.

Mohd Elmi berkata kesedaran orang ramai mengenai keselamatan elektrik sangat penting, bagi mengurangkan kes kemalangan elektrik termasuk membeli kelengkapan elektrik yang diluluskan ST, dan dilekatkan label SIRIM-ST bagi menjamin keselamatan mereka.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 30,384 kes usikan pepasangan meter (KUPM) dilaporkan seluruh negara antara Januari hingga November tahun ini.

Katanya, antara kes tersebut termasuk berkaitan pengguna yang terpedaya dengan tawaran pihak tertentu untuk memasang alat pada meter Tenaga Nasional Bhd (TNB) di rumah atau premis, yang kononnya boleh menjimatkan elektrik.

“Saya mengingatkan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, sekiranya tuan rumah atau pemilik premis mengusik meter TNB. TNB juga boleh menuntut kembali kerugian daripada tuan rumah atau premis,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan itu pengguna domestik boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pengguna bukan domestik denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This