ADUN PH Melaka sendiri kena mula gerakan tolak kerajaan negeri – Idris
KUALA LUMPUR,. Usaha menolak kerajaan negeri Melaka perlu dimulakan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran mereka sendiri.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron berkata, apa yang menjadi rahsia kini ialah siapa ADUN PH negeri tersebut yang ‘tidak sebulu’ dengan pentadbiran Ketua Menteri, Adly Zahari selain DAP serta Amanah sendiri.
“Sudah lama orang bertanya mengenai isu ini, sebenarnya sudah ada banyak provokasi dari pelbagai sudut tetapi saya kata kita sebagai pembangkang sentiasa menolak kerajaan ini dalam apa juga keadaan sejak hari mereka mentadbir negeri.
“Kalau ada inisiatif kita akan bersama tolak kerajaan negeri, tetapi ia kena bermula dari pihak kerajaan sendiri.
“Kalau ada sesiapa dari pihak kerajaan yang menolak, kita memberikan sokongan padu kepada usaha itu,” katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.
Baru-baru ni tersebar luas mesej di WhatsApp mengatakan ada gerakan di negeri itu yang direstui Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggabungkan Bersatu dan UMNO bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
Pada masa ini, kedudukan kerusi DUN Melaka ialah 15 PH dan 13 Barisan Nasional (BN) yang semuanya dari UMNO.
Jika tiga ADUN PH berkenaan berpaling tadah, BN akan memiliki 16 kerusi, manakala PH sembilan.
Pada masa ini, komposisi kerusi PH ialah DAP (lapan), PKR (tiga) dan masing-masing dua milik Bersatu dan Amanah.
Dalam perkembangan isu usul yang mencadangkan Pengerusi MPN PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Senator ditolak, Idris menjelaskan, ia berpunca daripada sindiran ADUN Klebang, Datuk Gue Teck terhadap ahli pembangkang.
Katanya, pada peringkat awal, usul Ketua Menteri hampir mempengaruhi pembangkang untuk menyokong, namun tetapi ucapan ADUN Klebang menjadikan keputusan sebaliknya.
Idris kemudiannya mengemukakan usul calon baharu iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh.
Usul terbaharu itu berdasarkan kepada Peraturan 18.1 Dewan Undangan Negeri yang membolehkan pindaan usul dibuat sebelum Speaker bertindak menangguhkan dewan.