Ahli Bersatu diingatkan supaya utamakan perjuangan parti, bukan diri sendiri
SHAH ALAM,. Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya sentiasa mengutamakan perjuangan bermatlamatkan parti, bukannya untuk manfaat diri sendiri.
Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya ‘masalah’ sedemikian berterusan wujud dalam parti, amatlah diyakini ia mampu membuatkan parti kalah pada pilihan raya akan datang.
“Ini adalah masalah kalau kita fikir bahawa parti (politik) beri kita peluang untuk capai matlamat diri. Saya yakin, jangan kata diri kita dapat kemenangan, (tetapi) parti juga akan kalah.
“Sebab itu, apabila kita sertai parti politik, harus diingat perjuangannya adalah perjuangan parti, bukan untuk diri sendiri,” kata perdana menteri semasa berucap pada Majlis Makan Malam Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu di sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Dalam Negeri, Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Ketua Angkatan Armada yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menyifatkan Armada sebagai sayap penting dalam parti, Dr Mahathir berkata peranannya dan juga sayap Sri Kandi dilihat lebih aktif daripada golongan dewasa yang disifatkan lebih ‘tertarik’ dengan nasib mereka dalam parti.
Katanya, ini kerana golongan dewasa dalam sesebuah parti yang dilihat tidak begitu ramai menyebabkan mereka takut sekiranya dicabar.
“Golongan dewasa mungkin (sudah) tidak dapat berfikir secara ideal dan baik untuk bangsa, negara dan agama. Mereka berpendapat, satu cara untuk kekalkan nasib (dalam parti) adalah supaya tiada cabaran daripada mana-mana pihak.
“(Disebabkan itu) Jika kita berjuang untuk parti, kita akan merasa nikmatnya. Semasa dalam parti, kita seharusnya mengikis sikap pentingkan diri sendiri,” katanya.
Dr Mahathir turut berpesan kepada Armada supaya bekerja kuat dan bersungguh-sungguh supaya lebih ramai golongan muda menyertai parti berkenaan.
Ini kerana katanya, semua ahli harus melihat kekalahan parti dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini disifatkan ekoran kekurangan ‘pekerja’.
Pada majlis itu juga, Syed Saddiq mengumumkan dana sebanyak RM5.12 juta dapat dikumpulkan untuk dimanfaatkan bagi menjalankan pelbagai aktiviti sayap itu bagi menyantuni masyarakat.
— BERNAMA