RAM Ratings jangka eksport, import Malaysia susut pada Oktober

RAM Ratings jangka eksport, import Malaysia susut pada Oktober

KUALA LUMPUR,. RAM Rating menjangkakan import dan eksport Malaysia menyusut masing-masing sebanyak 6.8 peratus dan 8.2 peratus pada Oktober, membawa kepada lebihan perdagangan sebanyak RM14.4 bilion bagi bulan tersebut.

Agensi penarafan tersebut berkata penurunan berterusan itu adalah disebabkan oleh prestasi lemah industri dan perdagangan global pada Oktober, selain kesan asas tinggi dari 2018.

Bagaimanapun, Ketua Penyelidik RAM Rating Kristina Fong berkata trend eksport ketika ini bagi sektor semikonduktur menunjukkan petanda penurunan itu mungkin telah berakhir walaupun 2019 menjadi tahun yang lemah bagi sektor tersebut.

“Terdapat beberapa faktor positif bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E), termasuk penurunan nisbah inventori untuk penghantaran bagi pengeskport teknologi serantau utama dan peningkatan beransur-ansur tempahan.

“Pelancaran produk baharu dalam ruang teknologi yang berkaitan dengan 5G dan Internet Pelbagai Benda juga memberikan sedikit sokongan kepada sektor itu. Semua faktor itu perlu meningkatkan daya tahan sektor E&E, eksport utama bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, RAM Rating berkata hasil daripada perjanjian perdagangan awal fasa satu Amerika Syarikat (AS)-China tidak dijangka membawa kepada pemulihan segera momentum momentum perdagangan kerana perniagaan mungkin terus berhati-hati ekoran ketidakpastian berhubung fasa seterusnya.

Selain itu, undang-undang yang ditandatangani baru-baru ini bagi menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong oleh AS mungkin merumitkan rundingan perdagangan pada masa depan.

RAM Rating berkata memandangkan pendirian yang sering berubah-ubah oleh kedua-dua pihak, banyak kemajuan akan diperlukan bagi memulihkan keyakinan perniagaan dan pemulihan yang ketara dalam permintaan global.

Fasa pertama perjanjian perdagangan AS-China juga tidak dijangka menukarkan semula sebarang penyelarasan dalam rantaian bekalan yang timbul akibat daripada pertikaian itu, kata RAM Rating.

Pengeskport utama barangan elektrik dan elektronik Asia mengalami penurunan ketara dalam bahagian keseluruhan eksport barangan itu China disebabkan terutamanya lebih banyak halangan perdagangan yang dikenakan AS ke atas negara tersebut.

Akibatnya, corak pengedaran serantau telah berubah kerana pengeluar telah cuba memintasi halangan tersebut.

RAM Rating berkata sesetengah ekonomi seperti Taiwan telah mengeksport terus ke AS, beberapa pengeluar seperti Korea Selatan dan Malaysia telah mengalihkan bekalan mereka kepada hab pengeluaran baharu di Vietnam dan Taiwan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This