Ahli PPK di Sabah disaran tingkatkan pelaburan dalam Nafas

SANDAKAN,. Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berkemampuan di Sabah disaran meningkatkan jumlah pelaburan saham masing-masing dalam dana Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi membolehkan ahli peladang terpilih menerima zakat yang lebih tinggi.

Pengurus Besar Nafas Ahmad Shaari menjelaskan jumlah pulangan zakat kepada ahli yang terpilih adalah berasaskan kepada saham yang dipegang di peringkat negeri.

“Pegangan saham di Sabah masih rendah dan oleh sebab itu, apabila kita nisbahkan pulangan zakat, angkanya kecil.

“Dengan pelaburan besar (oleh ahli peladang), ia dapat diterjemahkan dalam bentuk zakat nanti,” katanya kepada pemberita selepas Program Kasih Peladang Sabah di sini hari ini.

Ahmad juga berkata Nafas mempunyai dana berjumlah RM160 juta hasil pelaburan kira-kira 920,00 ahli peladang di seluruh negara untuk dilaburkan dalam perniagaan yang boleh membawa pulangan kepada peladang.

Pada program itu, seramai 100 asnaf dari kalangan ahli PPK Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Tongod masing-masing menerima RM200 wakalah zakat daripada Nafas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )