Azam baharu Petronas Yamaha SRT pada musim 2020

Azam baharu Petronas Yamaha SRT pada musim 2020

SEPANG,. Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) berazam untuk melakarkan pencapaian gemilang seperti musim lalu pada kempen MotoGP 2020 yang bermula pada Grand Prix Qatar di Litar Antarabangsa Losail pada 8 Mac ini.

Pasukan tersebut mencapai prestasi luar biasa dalam penampilan sulung kelas perdana musim lalu dengan menduduki tempat keempat dalam kedudukan pasukan manakala penunggangnya, Fabio Quartararo menduduki tempat kelima keseluruhan serta muncul sebagai Penunggang Muda Terbaik MotoGP 2019.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, berkata pasukannya berhasrat memperbaiki dalam semua aspek walaupun berdepan dengan harapan dan tekanan yang tinggi.

“Memang tahun ini jangkaan dan tekanan lebih tinggi kalau dibandingkan dengan 2019 dan setakat ini kita tidak mahu buat sebarang ramalan sehingga kita menguji jentera baharu bermula esok.

“Dari segi keseluruhan kita nak lebih baik di segenap aspek dan memperbaiki kedudukan pasukan pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pasukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Mengenai motivasi penunggang pasukan, Razlan percaya Quartararo dan rakan sepasukan, Franco Morbidelli bersedia menyahut cabaran musim baharu.

Apatah lagi, Quartararo sudah menandatangi kontrak bersama Yamaha sehingga 2022, Razlan berkata ia akan menjadi rangsangan untuk Morbidelli meningkatkan prestasi sepanjang musim ini.

“Saya percaya dengan kariernya sudah terjamin sehingga 2022, beliau (Quartararo) boleh fokus kepada musim 2020 dan cuba menamatkan perlumbaan di podium sebanyak mungkin.

“Kita akan nilai Franky (Morbidelli) dalam lima atau enam perlumbaan pertama untuk tentukan sama ada kita nak menyambung kontraknya atau tidak tetapi sebagai pelumba berpotensi saya yakin dia akan gunakan situasi ini sebagai motivasi untuk buat yang terbaik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This