Airasia mulakan 2020 dengan cabaran getir
KUALA LUMPUR,. Selepas meredah awan hampir dua dekad lamanya, AirAsia kini dikaitkan dengan dakwaan rasuah oleh pihak Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom yang boleh disifatkan sebagai cabaran paling getir pernah dihadapi syarikat penerbangan itu setakat ini.
Malah, isu yang melingkari syarikat itu serta eksekutif kanannya, turut mendapat ulasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Menurut Dr Mahathir, ini sepertimana unsur ‘offset’ atau timbal balas kerajaan dalam transaksi kewangan besar seperti pembelian pesawat.
“Sama ada kita menganggap ‘offset’ itu rasuah atau tidak, ia terpulang kepada anda. (Namun) bagi saya, kalau kita dapat sesuatu (habuan sebagai pulangan) kerana kita membeli sesuatu dengan harga yang tinggi, kenapa kita tak boleh terima?
“Tetapi, jika duit yang kita dapat itu masuk ke dalam poket kita, maka itu adalah rasuah. Namun, jika wang itu bagi tujuan khusus, itu adalah ‘offset’ (timbal balas), bukan rasuah. Itu pandangan saya.”
AirAsia telah menafikan dakwaan itu dan bertindak pantas sewajarnya bagi menangani isu tersebut.
Dalam tempoh tiga hari selepas timbulnya dakwaan itu, Pengerusi AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamaruddin Meranun dan Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia , Tan Sri Tony Fernandes, bertindak melepaskan jawatan eksekutif masing-masing dalam syarikat itu bagi tempoh dua bulan berkuat kuasa serta-merta.
Mereka bagaimana pun kekal sebagai penasihat syarikat tanpa sebarang kuasa eksekutif.
Tindakan pantas oleh ahli Lembaga Pengarahnya selain di pihak Kamarudin dan Fernandes sendiri, wajar dipuji.
Rentetan itu, AirAsia X turut mengambil langkah dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dakwaan tersebut.
Kamarudin dan Fernandes pula mendakwa SFO tidak langsung menghubungi AirAsia bagi mendapatkan penjelasan sepanjang tempoh siasatan skandal itu selama hampir empat tahun.
“Ini jelas melanggar prinsip keadilan undang-undang serta akses kepada keadilan. Kami menafikan semua dakwaan salah laku sebagai eksekutif dan pengarah AirAsia,” kata Kamarudin dan Fernandes.
Selain itu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) kini dalam proses menyiasat perkara itu dan Kamarudin serta Fernandes telah memberi komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berwajib.
Menurut kenyataan SFO, Airbus yang juga pengeluar terbesar pesawat dunia, telah mengakui bahawa ia menggunakan khidmat ejen rahsia di serata dunia bagi memperoleh kontrak bernilai tinggi.
Dakwaan rasuah itu dilaporkan membabitkan AirAsia, AirAsia X, Citilink, Garuda Indonesia, SriLankan Airlines dan TransAsia Airways.
Airbus dikatakan telah membuat pembayaran kepada eksekutif di Citilink, Garuda Indonesia membabitkan tempahan sebanyak 15 pesawat A330 dan 40 buah pesawat A320 manakala TransAsia pula merangkumi dua pesawat jenis A330, 18 pesawat A321neo dan A321.
Selain itu, SFO berkata pembelian enam pesawat A330 dan empat pesawat A350 oleh SriLankan Airlines telah dikaitkan dengan tawaran rasuah US$16.8 juta untuk isteri eksekutif syarikat itu menerusi sebuah syarikat lain yang kemudiannya diluluskan Airbus sebagai rakan perniagaannya.
Pada 31 Januari, SFO mengumumkan di bawah perjanjian penangguhan pendakwaan, Airbus bersetuju membayar penyelesaian sebanyak US$3.98 bilion kepada pihak pendakwa di Perancis, Britain dan Amerika Syarikat (AS).
Hakikatnya, ini bukan kali pertama AirAsia Group dikaitkan dengan dakwaan rasuah.
Pada 2017, pihak SFO menamakan AirAsia Group sebagai salah satu pihak yang didakwa terbabit dalam dakwaan rasuah dengan Rolls-Royce PLC, pembuat enjin pesawat UK namun disangkal AirAsia yang menegaskan ia tidak pernah berurusan dengan firma itu.
Dalam kes terbaharu, pihak pendakwa berkata Airbus membayar sejumlah US$50 juta bagi penajaan sebuah pasukan sukan untuk ‘meraih habuan tidak wajar’ syarikat penerbangan itu dan penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X yang melibatkan pesanan sebanyak 180 pesawat.
Pasukan sukan yang dirujuk dalam dokumen undang-undang tersebut adalah pasukan Formula Satu (F1), Caterham F1 yang kemudiannya dimiliki oleh Fernandes dan Kamarudin.
Daripada semua syarikat penerbangan yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah itu, AirAsia sebaliknya adalah satu-satunya yang mana wang itu didakwa dibayar oleh Airbus membabitkan penajaan jenama sukan yang sah.
Siasatan kini dijalankan dan adalah menjadi tanggung jawab pihak Lembaga Pengarah untuk memberi jawapan kepada kalangan pemegang saham selain telus dalam proses terbabit.
Apa yang pasti, proses itu sama ada boleh menjadi pertarungan yang lama untuk AirAsia atau turut berkemungkinan mengubah kaedah atau pendekatannya di masa depan.
Jika diimbau, pembabitan AirAsia dengan F1 bermula dengan Kejuaraan Dunia F1 2007 apabila ia dilantik sebagai pesawat rasmi untuk pasukan F1 AT&T Williams selama tiga tahun.
Pada 2010, pasukan Fernandes menyertai F1 sebagai Lotus Racing yang kemudiannya diubah kepada pasukan F1 Caterham pada 2011.
Pasukan itu telah menjelajah serata dunia melakukan promosi termasuk untuk AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus.
Kamarudin dan Fernandes merupakan pemegang saham dalam Caterham namun syarikat itu terbukti gagal mencatat sebarang untung dan dilupuskan pada harga satu pound sterling pada 2014.
Dari segi perniagaan, AirAsia juga dikenali sebagai sebuah syarikat yang memulakan penerbangannya dengan hanya dua pesawat ketika masa depan industri penerbangan dilihat suram susulan kejadian 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Namun syarikat penerbangan tambang rendah itu turut berjaya mengharungi banyak cabaran serta bencana yang melanda industri itu sehingga membolehkannya muncul sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah Asia dengan khidmatnya melangkaui lebih 130 destinas di serata Asia Pasifik.
Menerusi usaha bersama sekutunya di Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun, syarikat AirAsia juga merupakan penerbangan tambang rendah terbesar di Asia dari segi jumlah penumpang yang dibawanya.
Syarikat sekutu bagi penerbangan jarak jauh, AirAsia X pada masa ini melakukan penerbangan ke 31 destinasi merentasi Asia, Australia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Kemampuan syarikat penerbangan itu untuk seiring dengan kepesatan perubahan teknologi dengan memanfaatkannya bagi melonjakkan perniagaan dalam antara industri paling mencabar dunia, juga dikagumi.
AirAsia juga mungkin antara segelintir syarikat penerbangan yang dapat mengintegrasikan pembelajaran mesin Google Cloud dan teknologi kecerdasan buatan dalam segenap aspek perniagaannya.
Ia turut menjadi perintis kemudahan perkhidmatan WiFi bagi penerbangan tambang rendah di rantau ini selain dikenali dari segi usaha memupuk dan melahirkan bakat muda, pemimpin dan usahawan.
Oleh itu, berdasarkan kemampuannya, tidak dapat dinafikan bahawa AirAsia baik sebagai jenama mahu pun perniagaan, berupaya untuk terus wujud bagi tempoh yang lama.
— BERNAMA
Oleh Zairina Zainudin