Bajet 2022: Peruntukan pembangunan RM5.2 bilion bagi Sabah, RM4.6 bilion Sarawak

Bajet 2022: Peruntukan pembangunan RM5.2 bilion bagi Sabah, RM4.6 bilion Sarawak

KUALA LUMPUR,. Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peningkatan peruntukan dalam perbelanjaan pembangunan sebanyak RM100 juta (RM0.1 bilion) dalam Bajet 2022 berbanding tahun ini iaitu RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan itu antaranya adalah untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Menerusi Bajet 2022 yang bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera,’ beliau berkata keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah adalah penting bagi memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati hasil pembangunan.

“Bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan sejumlah RM690 juta merangkumi enam projek baharu dan 66 projek sambungan seperti projek Pertanian Pintar di Igan, Sarawak.

“Tahun depan, sebanyak 20 lagi bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi kawasan dan mukim di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Prihatin dalam membantu kerajaan negeri meningkatkan pembangunan ekonomi negeri, Tengku Zafrul berkata peruntukan khusus sebanyak RM260 juta iaitu RM20 juta setiap negeri akan disediakan bagi memfokus kepada projek melibatkan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya bagi memastikan usaha merangsang pemulihan ekonomi dipergiat, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Utama Tengah.

Beliau juga berkata sebahagian besar belanjawan tahun depan melibatkan infrastruktur luar bandar iaitu RM1.5 bilion daripada keseluruhan RM2.5 bilion akan diberikan kepada kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu.

“Di samping itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta. Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

“Bagi memastikan kawasan luar bandar, khususnya Sabah dan Sarawak, mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, kerajaan memperuntuk RM200 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar,” katanya.

Mengenai akses kemudahan pengangkutan khususnya bagi penduduk di Kudat dan Long Pasiah, Sabah serta Ba’kelalan dan Bario di Sarawak, Tengku Zafrul berkata subsidi berjumlah RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara akan terus diberikan untuk manfaat penduduk setempat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This