Belanjawan 2021: Pengusaha batik, songket terima empat manfaat

Belanjawan 2021: Pengusaha batik, songket terima empat manfaat

KUALA TERENGGANU,. Syarikat pengeluar batik dan songket di Terengganu bakal menerima sekurang-kurangnya empat manfaat secara langsung melalui Belanjawan 2021.

Pengarah Urusan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata beliau bersyukur kerana kerajaan telah mengumumkan untuk meneruskan Program Subsidi Upah (PSU) bagi meringankan beban kewangan majikan untuk tempoh tiga bulan lagi pada tahun depan.

“Bermula April lepas, seramai 55 pekerja Noor Arfa telah menerima manfaat melalui program ini yang dibayar sebanyak RM1,200 seorang selama tiga bulan berturut-turut dan kemudiannya RM600 untuk setiap pekerja selama enam bulan.

“Syarikat akan membuat permohonan untuk menikmati bantuan program ini serta bantuan lain yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 melalui insentif PenjanaKerjaya termasuk mengambil graduan dan pekerja yang baru diberhentikan majikan untuk bekerja di Noor Arfa,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Meskipun masih belum mendapat perincian mekanisme pengambilan pekerja baharu dalam kalangan graduan dan pekerja yang diberhentikan itu, Wan Mohd Hafiz yakin langkah itu dapat membantu usahawan untuk terus berada dalam industri sepanjang tempoh yang mencabar semasa COVID-19 ketika ini.

“Walaupun jualan menjunam sehingga 50 peratus sebaik sahaja moratorium berakhir pada September lepas, kami masih boleh bertahan dengan insentif kerajaan terutama melalui PSU.

“Tumpuan Noor Arfa ketika ini ialah memperkasakan segmen pasaran secara dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terus menambah kemahiran kakitangan ke arah transformasi digital syarikat,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh Pengarah Urusan Manang Songket Sdn Bhd Wan Manang Wan Awang yang gembira dengan langkah kerajaan menawarkan insentif untuk usahawan seperti PSU dan Skim Transformasi Pendigitalan Industri.

“Untuk PSU, 11 kakitangan syarikat telah menerima manfaatnya sejak April lepas. Kami juga akan membuat permohonan untuk mendapatkan geran daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).

“Begitu juga pengumuman kerajaan untuk menggalakkan majikan mengambil graduan dan pekerja yang baru diberhentikan, kami akan cuba memohonnya juga dan akan menambah elaun kepada pekerja sekiranya mereka berkemahiran dalam bidang tenunan songket,” katanya.

Manang Songket Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1990, beliau mengakui iklim ekonomi ketika ini adalah yang paling suram berbanding krisis ekonomi terdahulu.

“Sungguhpun begitu, songket adalah seni warisan yang mempunyai segmen pembeli tersendiri, apatah lagi songket Terengganu keluaran syarikat kami sangat mementingkan kualiti terbaik demi kepuasan pelanggan.

“Memang jualan agak terjejas, namun insentif disediakan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu untuk membantu usahawan meneroka pasaran digital seperti e-kraf bazar dan My Craft Shoppe sangat positif dan mesti diperkasakan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This