BN perlu fokus Isu perumahan untuk generasi kedua Felda Sahabat

BN perlu fokus Isu perumahan untuk generasi kedua Felda Sahabat

TUNGKU: Isu perumahan untuk generasi kedua Felda Sahabat menjadi fokus yang mahu diselesaikan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Momen Angchai, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Menurutnya, sebagai isu mendesak yang membelenggu generasi di Felda beliau bersedia memperjuangkan isu untuk diselesaikan demi keadilan mereka yang berhak.

Katanya, Felda berperanan penting dalam pembangunan di sini namun isu perumahan terabai sehingga ada yang terpaksa tinggal bersesak dalam satu rumah.

“Saya akan berusaha memperjuangkan hak warga Felda ini khususnya perumahan untuk generasi kedua.

“Sebenarnya sebelum ini sudah ada perancangan rapi untuk hal ini tapi terhenti bila pentadbiran berubah dan sekiranya diberi mandat, perancangan ini akan saya susuli sehingga mencapai penyelesaian,” katanya.

Momen yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) mendedahkan sebelum ini perancangan perumahan untuk generasi kedua dianggarkan berjumlah lebih kurang 200 buah dan bilangan itu bakal bertambah mengikut fasa dengan persetujuan pihak-pihak tertentu.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Bahagian Silam berkata demikian ketika diminta mengulas isu perumahan yang dibangkitkan pada Majlis Ramah Mesra Calon Bersama Warga Felda di Anjung Teduh, di sini, kelmarin.

Turut bersama Momen di majlis itu, mantan Ahli Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansor.

Nasrun ketika ditemui menasihatkan semua pengundi mengutamakan kesihatan dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah jangkitan COVID-19.

“Dengan mematuhi arahan SOP diharap kita dapat menjalani PRN ini teratur dan mencapai matlamat menunaikan kewajipan kita keluar mengundi demi masa depan Sabah,” katanya.

CATEGORIES
Share This