Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada pagi

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur semasa urus niaga dibuka pagi ini disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung susulan prestasi lebih baik yang dicatatkan pada awal minggu ini.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.22 mata kepada 1,602.03 berbanding 1,603.25 pada Rabu.

Bagaimanapun, semasa urus niaga bermula, indeks utama dibuka 1.60 mata lebih tinggi pada 1,604.85.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 111 berbanding 90, manakala 1,041 kaunter tidak berubah, 742 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 699.71 juta saham bernilai RM240.78 juta.

Melaka Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata walaupun menyusut semalam, keadaan pasaran kekal memberangsangkan yang memberi isyarat akan berlaku penyusutan selanjutnya dalam waktu terdekat berikutan penyesuaian dijangka dibuat terhadap keadaan terlebih beli.

“Dengan keadaan masih positif, kami menjangkakan saham di Bursa Malaysia akan mencatatkan penurunan sederhana dalam waktu terdekat susulan wujud ketidaktentuan baharu dalam rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China yang mungkin ditangguhkan.

“Ini akan membolehkan indeks membuat penyesuaian daripada keadaan terlebih beli serta untuk berehat seketika daripada kenaikan baru-baru ini,” katanya.

Katanya di samping aktiviti pengambilan untung dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham barisan rendah dan saham di pasaran meluas turut mengalami keadaan serupa selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini.

“Dari segi teknikal, indeks dijangka akan berlegar sekitar paras 1,600 mata bagi membolehkan paras akhir tahun diperelokkan. Bawah 1,600 mata, paras sokongan berada pada paras 1,590 manakala paras rintangan kekal pada paras 1,610 dan 1,620,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi. Maybank dan IHH masing-masing kekal tidak berubah pada RM8.71 dan RM5.54, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.96 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen dan lima sen kepada RM19.78 dan RM7.55.

Bagi saham yang mencatatkan keuntungan, kaunter berkaitan Petronas, Dagangan dan Gas masing-masing meningkat 20 sen dan 16 sen kepada RM23.90 dan RM16.58 manakala Kuala Lumpur Kepong naik 12 sen kepada RM22.44.

Bagi saham aktif, Sumatec, Meridian dan Eduspec masing-masing tidak berubah pada setengah sen, enam sen dan tiga sen manakala bagi kaunter yang mencatatkan kerugian, Fraser & Neave turun 60 sen kepada RM34.70, Nestle merosot 30 sen kepada RM146.30 dan Hong Leong Bank susut 18 sen kepada RM16.88.

Indeks FBM Emas naik 2.89 mata kepada 11,346.20, Indeks FBMT 100 turun 1.36 mata kepada 11,154.77 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 16.05 mata kepada 11,893.45.

FBM Ace naik 15.12 kepada 4,972.23 dan FBM 70 meningkat 27.70 mata kepada 14,042.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 26.66 mata kepada 15,618.92, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 0.18 mata kepada 154.25 dan Indeks Perladangan merosot 14.97 mata kepada 6,847.38.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This