Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan pengambilan untung

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatatkan aliran berbeza daripada kenaikan semalam untuk dibuka rendah hari ini berikutan pengambilan untung sederhana dalam saham berwajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 7.57 mata kepada 1,562.98 daripada 1,570.55 ketika ditutup pada Isnin.

Semasa pasaran dibuka, indeks barometer mencatatkan 1.70 mata lebih rendah kepada 1,568.85.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi sebanyak 272 manakala 137 kaunter untung, 250 kaunter tidak berubah, 1,306 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 311.92 juta saham bernilai RM162.42 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata susulan peningkatan semula pasaran kepada 1,570 semalam daripada penurunan ketara pada Jumaat lepas, indeks tempatan dijangka meneruskan pemulihan dalam tempoh terdekat.

“Walaupun dengan kemungkinan kenaikan, kami berpendapat masih wujud elemen ketidakpastian ketara memandangkan terdapat hanya sedikit pemangkin untuk bursa mencatatkan peningkatan semula yang lebih kukuh.

“Justeru, sentimen pasaran masih suram di tengah-tengah kebimbangan mengenai kedudukan prestasi kewangan korporat negara dan persekitaran ekonomi pada 2020 yang menyebabkan FBM KLCI mencatatkan pergerakan perlahan bagi tempoh lebih lama,” menurutnya.

Firma penyelidikan tersebut berkata selain itu, perkembangan perjanjian perdagangan awal AS-China yang masih menghampakan boleh menyebabkan keadaan pasaran berhati-hati lebih lama.

“Susulan itu kami berpandangan kenaikan dijangka terhad dengan rintangan seterusnya masing-masing pada 1,575 dan 1,580 manakala sokongan pada paras 1,565 dan 1,560,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menokok satu sen kepada RM8.52, Petronas Chemicals merosot 14 sen kepada RM6.96, Public Bank turun 10 sen kepada RM19.46, TNB kurang empat sen kepada RM13.04 manakala CIMB menguncup tiga sen kepada RM5.16.

Bagi saham aktif, Khee San naik tujuh sen kepada 37.5 sen, Solarvest naik setengah sen kepada 87.5 sen, JAKS Resources menambah dua sen kepada RM1.23 manakala Yong Tai kurang setengah sen kepada 19.5 sen.

Indeks FBM Emas Syariah merosot 60.77 mata kepada 11,601.57, Indeks FBM Emas menguncup 47.33 mata kepada 11,088.94, FBM 70 turun 43.57 mata kepada 13,798.13, Indeks FBMT100 kurang 47.11 mata kepada 10,902.49 dan FBM Ace turun 34.23 mata kepada 4,766.03.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 5.18 mata kepada 7,161.44, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16.75 mata kepada 15,300.42 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.07 mata kepada 149.36.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This