Bursa Malaysia dibuka rendah pada awalnya sebelum melonjak kembali

Bursa Malaysia dibuka rendah pada awalnya sebelum melonjak kembali

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi kemudiannya bergerak tinggi sedikit, disokong oleh minat belian sederhana dalam kaunter wajaran tinggi terpilih susulan kerugian sebelum ini, kata para peniaga.

Pada 9.27 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.53 mata kepada 1,494.43 berbanding 1,493.90 pada Isnin.

Indeks utama dibuka 1.10 mata lebih rendah pada 1,492.80.

Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 217 berbalas 155 manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,661 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 339.32 juta unit bernilai RM221.60 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangkakan aktiviti memperelok akaun yang sederhana akan muncul di pasaran tempatan menjelang akhir tahun, dengan paras sokongan pada 1,475 dan rintangan berada antara 1,505-1,535.

“Memandangkan kebimbangan Omicron yang muncul, kami mengunjurkan peniaga mengambil bahagian dalam sektor penjagaan kesihatan sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat.

“Walaupun data mencadangkan bahawa Omicron tidak begitu serius seperti varian Delta, kerajaan di seluruh dunia akan memantau untuk tindakan selanjutnya seperti sekatan dan prosedur operasi standard kuarantin yang lebih ketat digunakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Firma pembrokeran itu juga menjangkakan aktiviti memburu saham berharga murah akan muncul dan meningkat dalam kalangan saham wajaran tinggi menjelang akhir tahun.

Namun begitu, ia menambah memandangkan prestasi semalaman Wall Street yang lemah, tekanan jualan mungkin berlanjutan membabitkan saham di bursa tempatan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 3.0 sen kepada RM8.14, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.08 dan CIMB tidak berubah pada RM5.29, manakala IHH Healthcare dan TNB susut 1.0 sen setiap satu kepada RM6.52 dan RM9.29.

Bagi saham aktif, Swift Haulage dan Bintai Kinden tidak berubah, masing-masing pada RM1.03 dan 24.5 sen, manakala Kejuruteraan Asastera susut 1.0 sen kepada 25 sen dan Malaysian Genomics lega setengah sen kepada 92.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 4.18 mata pada 10,844.21 dan Indeks FBMT 100 naik 3.83 mata kepada 10,551.18, manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 4.74 mata kepada 11,634.39.

Indeks FBM 70 naik 5.47 mata kepada 13,827.93 dan FBM ACE merosot 16.36 mata kepada 6,190.54.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.21 mata kepada 194.32, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.96 mata kepada 15,274.0 dan Indeks Perladangan mengembang 10.55 mata kepada 6,362.85.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This