Bursa malaysia dibuka tinggi

Bursa malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia pulih daripada kerugian yang dicatatkan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini, dipacu oleh sokongan belian diperbaharui di kaunter wajaran tinggi terpilih selepas pelabur mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada harga saham yang lebih rendah.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.15 mata kepada 1,494.74, berbanding 1,492.59 pada penutupan Selasa.

Indeks utama dibuka tinggi 0.15 mata pada 1,492.74.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 216 berbalas 113 manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,763 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 341.47 juta unit bernilai RM123.31 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti memperelok akaun mungkin muncul dalam tempoh terdekat, sekali gus dapat melonjakkan FBM KLCI sekurang-kurangnya melebihi paras 1,500 utama.

“Kami menjangkakan peniaga akan beralih dari sektor penjagaan kesihatan untuk jangka masa terdekat dan menumpukan pada stok tema pemulihan dalam sektor permainan, hospitaliti dan penerbangan.

“Sementara itu, pelabur mungkin memilih saham wajaran tinggi terpilih, disokong oleh aktiviti memperelok akaun,” katanya.

FBM KLCI ditutup rendah sedikit semalam selepas saham penjagaan kesihatan terpaksa ”tunduk” kepada aktiviti pengambilan untung.

Bagaimanapun, ia berkata Wall Street berada dalam aliran menaik, menepis kebimbangan mengenai varian Omicron COVID-19 selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyatakan mereka yang mendapat dos penggalak “sangat dilindungi.”

“Sokongan belian ini berkemungkinan melimpah ke pasaran tempatan dan boleh menaikkan saham teknologi yang terjejas selain sektor tema pemulihan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.14, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.10 dan IHH Healthcare serta CIMB masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM6.54 dan RM5.34, manakala Petronas Chemicals susut 3.0 sen kepada RM8.76.

Bagi saham aktif, ATA IMS meningkat 3.0 sen kepada 72 sen, SMTrack dan Bintai Kinden masing-masing naik setengah sen kepada 11 sen dan 24.5 sen, manakala Swift Haulage menokok 1.5 sen kepada 97.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas 24.31 mata lebih tinggi pada 10,859.73 dan Indeks FBMT 100 naik 24.08 mata kepada 10,567.56, manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 23.98 mata kepada 11,637.42.

Indeks FBM 70 mengembang 70.30 mata kepada 13,911.16 dan FBM ACE naik 20.81 mata kepada 6,193.56.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.19 mata kepada 194.07, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 15.94 mata kepada 15,304.0 dan Indeks Perladangan meningkat 4.80 mata kepada 6,379.53.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This