Media perlu bantu serlahkan bakat, karya seniman autisme, OKU
KUALA LUMPUR,. Agensi dan pengamal media disaran membantu mempromosikan karya seni Orang Kurang Upaya (OKU) seperti autisme bagi membuka peluang yang lebih besar terhadap golongan tersebut.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata media sebagai medium penyebar maklumat perlu memberi sokongan kepada seniman autisme dalam mempromosikan bakat mereka di mata dunia.
Beliau yang juga Presiden OKU Sentral berkata sokongan seumpama itu bukan sahaja membantu mengetengahkan bakat insan istimewa itu, malah meningkatkan advokasi tentang golongan itu kepada masyarakat.
“Kita ada bakat di Malaysia, so ini adalah waktunya dan pihak media tentu sekali boleh bantu dalam memberikan lebih pencerahan (penerangan) dan bagaimana mereka (OKU) dapat mempromosikan karya kerja mereka yang luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Pameran Seni Kreatif Bernama di Wisma Bernama, semalam.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun hadir merasmikan pameran seni itu yang berlangsung selama 10 hari bermula semalam, di Wisma Bernama.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPWKM Dr Maziah Che Yusoff, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Negara Datuk Tom Abang Saufi dan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad.
Ras Adiba turut menyeru ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak autistik supaya memberi peluang kepada mereka untuk melakukan kegiatan seni, sukan dan pembelajaran.
Jelasnya, kanak-kanak autisme memiliki kebolehan yang kreatif malah sesetengah daripada mereka mempunyai memori fotografik yang berbeza dengan anak autisme yang lain.
“Antara personaliti yang tersohor di dunia adalah mereka yang berada di bawah spektrum ASD (Autisme Spectrum Disorder), kita tidak patut menilai seseorang itu daripada luaran tetapi memberikan mereka peluang untuk menunjukkan bakat mereka bukan sahaja dari segi lukisan tapi dalam bisnes, pendidikan,” katanya.
— Bernama