Bursa rendah pada awal dagangan

Bursa rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dalam mod berhati-hati terutama dengan kemunculan aktiviti pengambilan untung selepas dagangan ditutup kukuh pada Jumaat lepas.

Sentimen keseluruhan di pasaran turut dibelenggu oleh kebimbangan berterusan terhadap perang di Ukraine dan jangkaan kenaikan selanjutnya kadar faedah Amerika Syarikat.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.60 mata kepada 1,597.81 daripada 1,602.41 pada penutupan Jumaat lalu.

Indeks utama dibuka 0.38 mata lebih rendah pada 1,588.29.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 178 berbalas 147 manakala 251 kaunter tidak berubah, 1,668 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 175.02 juta bernilai RM80.60 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan ditutup lebih tinggi pada Jumaat apabila FBM KLCI mencapai paras melepasi 1,600 selepas didorong oleh kegiatan pembelian saat akhir daripada dana asing.

Wall Street juga kekal kukuh pada penutupan Jumaat berikutan beberapa aktiviti memburu saham murah walaupun prestasi keputusan kewangan korporat suku pertama yang lebih lemah, dengan Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) memperoleh 139 mata manakala Nasdaq meningkat hanya 41 mata sementara hasil 10 tahun AS berakhir pada 2.4 peratus.

“Walaupun keadaan pasaran kekal berhati-hati, kami mengunjurkan pengumpulan dana asing akan berterusan, sekali gus menjangkakan indeks berada dalam julat sekitar 1,595 hingga 1,610 hari ini.

“Selain itu, berita AS akan mengeluarkan rizab minyak strategiknya menyaksikan minyak mentah Brent susut kepada US$104 setong. Bagi minyak sawit mentah, walaupun harga mungkin mula menurun sejak akhir-akhir ini, harga puratanya bagi Mac masih berada pada satu lagi paras tertinggi sepanjang masa pada RM6,870 satu tan metrik,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.94, Public Bank turun satu sen kepada RM4.77, Petronas Chemicals merosot 12 sen kepada RM9.65 manakala IHH Healhcare dan CIMB Group tidak berubah, masing-masing pada RM6.25 dan RM5.33.

Bagi saham aktif, TWL naik setengah sen kepada 7.5 sen, Pappajack meningkat 1.5 sen kepada 41 sen, Vortex menambah satu sen kepada 11 sen, TA Win lebih tinggi sebanyak setengah sen kepada 15.5 sen sementara waran TWL tidak berubah pada 4.5 sen .

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 susut 16.14 mata kepada 11,133.86, Indeks FBM Emas turun 6.87 mata kepada 11,464.78 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 9.96 mata kepada 12,023.89.

Namun begitu, FBM 70 meningkat 44.51 mata kepada 13,917.36 dan FBM ACE meraih 23.73 mata kepada 5,709.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 0.63 mata kepada 205.72, Indeks Perladangan menguncup 32.33 mata kepada 7,916.43, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.49 mata kepada 16,903.37.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This