Kolaborasi UUM-FDAM lestari hubungan industri, akademik

Kolaborasi UUM-FDAM lestari hubungan industri, akademik

KUALA LUMPUR,. Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (SCIMPA-UUM) Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin ditauliahkan sebagai Ahli Kehormat Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) atas sumbangan beliau terhadap perkembangan industri kreatif di Malaysia.

Presiden FDAM Dr. Ahmad Ibrahim berkata, di samping itu sebanyak 17 staf akademik dan dua staf bakat SCIMPA-UUM turut ditauliahkan sebagai ahli bersekutu pertubuhan itu.

“Kolaborasi SCIMPA-UUM dan FDAM melalui penyertaan mereka dalam FDAM secara khususnya bermatlamat mentransformasi industri perfileman tempatan dengan menggabungkan kemahiran dan kepakaran industri dengan keilmuan akademik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga dikenali sebagai Mat London berkata, kolaborasi itu turut memasukkan lima teras sejajar dengan matlamat UUM dan FDAM bagi melestarikan hubungan industri dan akademik.

“Kolaborasi ini melibatkan lima agenda penting iaitu pemindahan maklumat, program latihan amali, penglibatan industri dalam pengajaran dan pembelajaran, penempatan pelajar di industri dan keusahawanan yang selari dengan matlamat UUM dan FDAM untuk kebaikan bersama,” tambahnya.

Katanya, ahli akademik yang berlatarbelakang pelbagai kepakaran bidang sangat diperlukan dalam FDAM.

“Mereka ini boleh berbincang, berdiskusi dan merangka perancangan yang strategik secara intelektual demi perkembangan industri kreatif di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UUM, Profesor Dr. Shahimi Mohtar berharap kerjasama itu dapat memberi manfaat dan mencapai matlamat melahirkan lebih banyak tenaga pakar dan profesional demi meningkatkan mutu penerbitan filem tempatan.

CATEGORIES
TAGS
Share This