COVID-19: 70 pelancong asing pilih jalani ‘kuarantin vila’ di Phuket

COVID-19: 70 pelancong asing pilih jalani ‘kuarantin vila’ di Phuket

BANGKOK,. Thailand akan menyambut sekumpulan pelancong multinasional yang memilih untuk menjalani ‘kuarantin vila’ di sebuah hotel mewah di pulau peranginan Phuket, Ahad ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kumpulan pertama daripada 70 pelancong itu dijadualkan tiba di Phuket dengan penerbangan sewa khas dari Indonesia Ahad ini.

Katanya, pelancong berkenaan akan menjalani kuarantin wajib di resort mewah bertaraf lima bintang, Sri Panwa di pulau berkenaan.

“Pelancong akan menginap di vila lima hari pertama kuarantin dan kemudian mereka boleh meninggalkan vila untuk melakukan aktiviti luar di dalam kawasan vila,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Rabu.

Media tempatan melaporkan pelancong berkenaan termasuk dari Amerika Syarikat, Brazil, Kanada, Ukraine, Perancis dan Denmark yang melancong menggunakan pesawat sewa khas telah berulang kali menjalani ujian saringan COVID-19 di negara-negara yang dilawati mereka.

“Sekiranya, kuarantin vila terbukti berjaya, Thailand akan menjadi destinasi pelancongan di dalam normal baharu,” katanya.

Untuk meningkatkan industri pelancongannya, Thailand melancarkan pelbagai inisiatif termasuk menawarkan resort golf sebagai pusat kuarantin selain menawarkan visa jangka panjang khas untuk menarik kedatangan pelancong.

Pada tahun lepas, negara Gajah Putih itu menerima hanya 6.7 juta kedatangan pelancong asing, berbanding hampir 40 juta pada 2019.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 175 kes baharu COVID-19 dengan sifar kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 24,961 kes dan 82 kematian.

Thaweesilp berkata daripada 175 kes baharu itu, 168 adalah penularan tempatan yang merangkumi 114 dikesan melalui pengesanan kes aktif dan 54 kes dirawat di hospital dan tujuh kes diimport.

“Dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 71 kes baharu dikesan melalui kluster baharu in Pathum Thani, yang mempunyai kaitan dengan tiga pasar segar di wilayah ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This