COVID-19: 801 kes baharu, negeri PKPB sumbang 81 peratus – KP Kesihatan

COVID-19: 801 kes baharu, negeri PKPB sumbang 81 peratus – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 28 Okt — Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 801 kes baharu COVID-19 dicatat hari ini dan 81 peratus daripadanya disumbang oleh negeri yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata sejumlah 546 kes dikesan di Sabah manakala negeri di sekitar Lembah Klang mencatatkan 103 kes dengan Selangor sebanyak 89 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 14 kes.

Selain itu, Negeri Sembilan mencatatkan 24 kes, Labuan (29), Sarawak (27), Pulau Pinang (19), Perak (enam), Johor (8), Kedah (28) dan Terengganu (11).

Kesemua kes melibatkan penularan tempatan kecuali dua kes import masing-masing satu di Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan seorang warganegara serta seorang bukan warganegara yang tiba dari Iran dan Arab Saudi.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 29,441 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 10,123 kes. Kesemua pesakit ini telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 573 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya ialah 19,072 atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata sebanyak 94 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 25 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis Kebangsaan pula dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 246 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This