Dagangan Bursa Malaysia dijangka pamer trend menaik minggu depan

Dagangan Bursa Malaysia dijangka pamer trend menaik minggu depan

KUALA LUMPUR,. Dagangan Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positifnya minggu depan, didorong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik manakala penilaian ke atas ekuiti Malaysia pula masih lebih murah berbanding dengan bursa serantau yang lain, kata seorang peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti Malaysia yang lebih murah akan menawarkan potensi peningkatan yang lebih baik untuk pelabur asing.

“Selain itu, kami percaya permainan jangka pendek untuk saham perladangan serta minyak dan gas akan kekal buat masa ini memandangkan minyak sawit mentah telah pun melepasi paras RM7,000 satu tan sementara minyak mentah Brent melonjak kepada hampir US$100 setong sebagai tindak balas kepada konflik di Ukraine,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menambah indeks penanda aras FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,585-1,610 pada minggu hadapan.

“Dari sudut teknikal, kami melihat rintangan serta merta pada paras psikologi 1,600, diikuti 1,618, manakala sokongan kekal pada 1,570,” ujar beliau.

Bagi minggu yang baru berakhir, dagangan Bursa Malaysia kebanyakannya bergerak lebih rendah, mengambil petunjuk daripada prestasi tidak menentu pasaran-pasaran serantau dan Wall Street di celah-celah ketegangan yang kian memuncak kerana konflik di Ukraine.

Bagi perbandingan mingguan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI jatuh 11.33 mata untuk mengakhiri minggu urus niaga pada 1,591.72 daripada 1,603.05 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah 101.27 mata kepada 11,350.24, Indeks FBMT100 susut 67.67 mata kepada 11,023.17, dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 194.24 mata kepada 12,016.47.

Sementara itu, FBM 70 kerugian 288.80 mata kepada 13,515.94 dan FBM ACE merosot 345.92 mata kepada 5,948.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 83.96 mata kepada 16,484.64, Indeks Tenaga pulih 2.12 mata kepada 767.30, manakala Indeks Perladangan berkurangan 21.94 mata kepada 8,098.29.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.98 mata kepada 208.65, Indeks Teknologi lemah 2.6 mata kepada 78.37, dan Indeks Penjagaan Kesihatan kerugian 88.53 mata kepada 2,079.28.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 20.08 bilion unit bernilai RM15.97 bilion daripada 17.91 bilion unit bernilai RM14.66 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 20.08 bilion unit bernilai RM15.97 bilion daripada 17.91 bilion unit bernilai RM14.66 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 13.63 bilion saham bernilai RM14.56 bilion berbanding 11.83 bilion saham bernilai RM13.14 bilion sebelumnya.

Jumlah waran susut kepada 1.66 bilion unit bernilai RM212.55 juta daripada 1.84 bilion unit bernilai RM227.65 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.77 bilion saham bernilai RM1.20 bilion berbanding 4.23 bilion saham bernilai RM1.29 bilion pada minggu sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This