Duta sambut baik hasrat Malaysia buka kedutaan untuk Palestin di Jordan

KUALA LUMPUR,. Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyambut baik pengumuman Malaysia akan membuka kedutaan di Jordan untuk Palestin bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

Duta itu berkata pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan bukanlah sesuatu yang menghairankan jika melihat kepada perpaduan berterusan Malaysia dengan Palestin.

“Malaysia sentiasa meletakkan Palestin sebagai keutamaan dalam agendanya. Bagi pihak kepemimpinan dan semua rakyat Palestin, kami amat menghargai sokongan padu yang diberikan kepada Palestin,” katanya kepada ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Walid berkata langkah Malaysia itu akan menggalakkan lebih banyak negara Islam lain melakukan perkara sama, terutama yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, sebagai tanda sokongan dan perpaduan kepada negara dan rakyat Palestin.

“Daripada perspektif kami, andai Jordan gembira dan Malaysia gembira…kami amat mengalukannya kerana Malaysia tidak boleh mempunyai kedutaan di Palestin. Jordan adalah jiran yang paling dekat dengan Palestin,” ujar beliau.

Ketika ini, Palestin mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur yang mana Duta Besar Malaysia ke Mesir ditauliahkan serentak ke Palestin.

Palestin telah berada di Malaysia sejak beberapa dekad, katanya.

Sebelum ini, ia diwakili oleh pejabat perwakilan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebelum dinaik taraf sebagai kedutaan pada 1988, berikutan mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algeria pada tahun yang sama.

Malaysia adalah antara negara pertama yang menaik taraf wakil Palestin di negara ini sebagai perwakilan penuh – kedutaan.

Selain mengetengahkan isu Palestin, Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan kepada para pemimpin dan wakil dari 120 negara, turut mengambil kesempatan untuk menggesa negara-negara anggota NAM yang telah memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis atau merancang berpindah ke sana, supaya mengkaji semula keputusan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )