Godfrey Gao dipercayai meninggal dunia akibat beban kerja, tidur lewat – Pakar

Godfrey Gao dipercayai meninggal dunia akibat beban kerja, tidur lewat – Pakar

TAIWAN,. Kematian pelakon dan model terkenal Godfrey Gao akibat serangan jantung semalam berkemungkinan besar disebabkan oleh gaya hidupnya yang terlalu sibuk.

Pengerusi Jabatan Perubatan Kecemasan di Hospital Universiti Kebangsaan Taiwan, Fang Cheng-Chung berkata ia berdasarkan gaya hidup Godfrey yang sering dibebani kerja selain gemar berjaga hingga lewat malam.

Jelasnya, gaya hidup sebegini boleh mengakibatkan stres melampau dan akhirnya mengakibatkan peningkatan hormon stres yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, gangguan aliran darah, serta gangguan pada rentak denyutan jantung.

Tambahnya tabiat tidur lewat untuk tempoh yang panjang boleh mengakibatkan kardiovaskular akut walaupun individu itu sentiasa mengamalkan senaman serta pengambilan pemakanan seimbang.

Aktor kelahiran Taiwan-Kanada itu disahkan meninggal dunia semasa menjalani penggambaran bagi program realiti popular “Chase Me.”

“Saya sudah tidak mampu lakukannya lagi,” itu kata-kata akhir daripada bintang filem terkenal itu selepas berhenti berlari dan rebah tidak sedarkan diri ketika rakaman babak rancangan tersebut sekitar jam 2 pagi.

Agensi berita BBC melaporkan kru rakaman menganggap ia sebahagian daripada babak berkenaan, tetapi berasakan sesuatu tidak kena pada aktor dan model itu, sebelum bergegas memanggil staf perubatan untuk memberikan rawatan.

Rancangan “Chase Me” yang menjalani penggambaran di sekitar Ningbo, China, difahamkan melibatkan banyak aktiviti fizikal, dan Godfrey telah dijemput untuk menjadi tetamu dalam sebahagian babak berkenaan.

Laporan itu menyebut jantungnya terhenti seketika, tetapi kembali berdenyut, dan beliau terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Malangnya selepas menerima lawatan intesif selama tiga jam di pusat perubatan itu, mereka gagal memulihkan aktor berusia 35 tahun itu,” lapor BBC lagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )