Hamidin mahu Skuad Harimau Malaya teruskan perjuangan di Hanoi

Hamidin mahu Skuad Harimau Malaya teruskan perjuangan di Hanoi

KUALA LUMPUR,. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mahu para pemain menjadikan kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula pada perlawanan menentang Vietnam, bulan depan.

Biarpun tewas 1-2 kepada UAE pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, beliau tetap memuji prestasi yang dipamerkan para pemain yang hampir melakukan kejutan terhadap pasukan pelawat.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memulakan kempen dengan langkah kanan, apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 Sept lalu, maka tidak mustahil untuk kita bangkit semula menentang Vietnam.

“Namun perlu diingat bukan mudah untuk mengekalkan momentum kemenangan konsisten, lantaran itu pemain perlu sentiasa mengikut taktikal permainan jurulatih, serta paling utama kekal fokus.

“Apapun kombinasi serta persefahaman yang baik telah dipamerkan pemain dan diharap pemain terus bermain dengan semangat juang yang tinggi, demi lencana di dada,” katanya dalam entri di laman Facebook rasmi persatuan hari ini.

Hamidin turut berharap agar penyokong terus memberi sokongan padu kepada pemain negara.

Malaysia bakal berkunjung ke Hanoi untuk berdepan tuan rumah, dalam perlawanan ketiga Kumpulan G, 10 Oktober nanti.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia turun ke tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata di belakang Thailand dan UAE.

Pada satu lagi perlawanan kumpulan G malam tadi, Thailand melakarkan kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dan mengungguli kumpulan dengan empat mata.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This