Honda lancar model WR-V serba baharu bagi pasaran Malaysia
KUALA LUMPUR,. Honda Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan model Winsome Runabout Vehicle (WR-V) serba baharu bagi pasaran Malaysia yang didatangkan dengan empat varian berharga antara RM89,900 dan RM107,900.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura berkata pengeluar kereta tersebut menyaksikan peningkatan permintaan terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia dan menjangka model terbaharu itu akan menguasai trend SUV kecil di negara ini.
“Kami percaya SUV kecil ini mempunyai potensi besar dalam pasaran dan akan mengukuhkan lagi kehadiran Honda Malaysia dalam segmen SUV bukan nasional.
“Kami yakin WR-V serba baharu ini dapat menarik perhatian golongan profesional muda serta pelanggan berkeluarga yang mencari SUV kecil dengan penawaran nilai yang baik,” katanya pada majlis pelancaran model tersebut, di sini, hari ini.
Yoshimura berkata, Honda Malaysia menerima lebih 2,500 tempahan semasa pratempahan dalam masa hanya sebulan.
Menurutnya, berdasarkan peningkatan permintaan terhadap SUV dalam pasaran, syarikat itu menyasar mencapai jualan sebanyak 1,300 unit sebulan dengan jangkaan serahan kereta dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Beliau berkata Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi Honda di rantau ini dan syarikat itu yakin dengan prospek bagi tempoh Separuh Kedua 2023 meskipun dunia masih berdepan dengan isu kekurangan cip ketika ini.
“Sehingga kini kami masih menghadapi isu kekurangan cip, tetapi pada tempoh Separuh Kedua tahun ini, kami berharap kami akan dapat memperoleh jumlah tertentu, dan kami sudahpun merancang untuk meningkatkan pengeluaran kami pada masa depan,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, penyelaras eksekutif Honda Malaysia Yujiro Sugino berkata syarikat tersebut berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan 80,000 unit kereta bagi 2023, jumlah yang sama seperti tahun lepas.
“Walaupun volum pada tempoh Separuh Pertama 2023 rendah sedikit disebabkan kekurangan bekalan cip, kami menjangkakan menjelang Separuh Kedua, kami akan dapat memulihkan bekalan dan berada di landasan untuk mencapai sasaran kami,” katanya.
Model WR-V serba baharu itu akan dikuasakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 121PS dan tork 145Nm, diintegrasikan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) dan teknologi tukaran G-design.
Semua varian, S, E, V dan RS (road sailing) mengandungi sejumlah ciri keselamatan canggih seperti Honda LaneWatch dan Honda SENSING sebagai tambahan, yang hanya terdapat dalam varian RS.
WR-V didatangkan dengan lima pilihan warna, termasuk warna baharu, putih mutiara stellar yang pertama kali seumpamanya bagi model Honda. Warna lain ialah putih mutiara platinum, merah menyala metalik, kelabu meteoroid metalik dan hitam kristal mutiara.
— BERNAMA