JDT juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut
KUALA LUMPUR,. Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai saingan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam ini.
Kemenangan kelapan yang dicatat JDT dalam kempen musim 2020 itu meletakkan skuad Harimau Selatan sembilan mata di hadapan pencabar terdekat Perak, sekali gus menamatkan perebutan takhta lebih awal dengan baki satu perlawanan liga.
Tiga gol pertama JDT disumbangkan pemain import Diogo Luis Santo pada minit ke-38 diikuti dua gol menarik dicipta Muhammad Safawi Rasid masing-masing pada minit ke-57 dan minit ke-81 untuk menjadikan kedudukan 3-1 selepas gol pelawat menerusi Dennis Buschening pada minit ke-74 mengurangkan defisit jaringan.
Pemain import tuan rumah Leandro Velazquez melengkapkan malam gemilang JDT apabila menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-84 sekali gus mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut JDT sejak musim 2013.
Sementara itu, kekalahan Sabah itu meletakkan Skuad Tambadau yang mengumpul sembilan mata kini di ambang penyingkiran.
Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, JDT yang enggan menunggu sehingga aksi terakhir untuk dinobatkan selaku juara berjaya memecah kebuntuan selepas Santo menampan bola hantaran lintang Muhammad Afiq Fazail sebelum rembatan luar kotak Muhammad Safawi meletakkan JDT selesa pada kedukukan 2-0.
Sabah bangkit merapatkan kedudukan setelah Buschening melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Mohd Farizal Marlias, namun kemaraan Sabah terhenti apabila pasukan tuan rumah meledak dua gol dalam tempoh tiga minit masing-masing hasil sentuhan Muhammad Safawi dan Velazquez.
Sementara itu, Petaling Jaya (PJ) City FC terkeluar daripada zon penyingkiran selepas mencatat kemenangan penting 4-2 mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC di Stadium UiTM, di Shah Alam.
Empat gol PJ City FC yang dijaringkan masing-masing R Barathkumar pada minit ke-46, Anawin Jujeen (48′), R Kogileswaran (66′) dan Washington Brandao pada minit-75 cukup untuk memadam dua gol dijaringkan pemain import tuan rumah Gustavo Dos Santos pada masa kecederaan babak pertama dan minit ke-79.
Dalam pada itu, Pulau Pinang yang melakar kemenangan 4-0 ke atas Kelantan United FC di Stadium Bandaraya, George Town sah menjuarai saingan Liga Premier musim ini susulan keputusan seri 0-0 dilakar Kuala Lumpur dalam pertembungan menentang Perak II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Pada masa sama, Terengganu FC II mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak United FC di Stadium Negeri, Kuching manakala Selangor 2 menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
— BERNAMA