Jokowi gesa larangan pergerakan perlu lebih tegas.

Jokowi gesa larangan pergerakan perlu lebih tegas.

JAKARTA,. Susulan situasi pergerakan orang ramai antara wilayah di Indonesia, Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan gabenor, datuk bandar dan ketua wilayah untuk mengetatkan lagi larangan pergerakan.

Menerusi kenyataan di Instagram rasminya, Jokowi berkata ia susulan rakyat republik itu terutama perantau dilihat mula mengambil keputusan untuk pulang ke kampung ekoran perintah darurat yang dilaksanakan sejak 20 Mac lalu.
“Sejak lapan hari lalu, terdapat 876 buah bas pengantara yang membawa seramai 14,000 orang penumpang dari Jabodetabek ke wilayah lain di Jawa.

“Ini belum termasuk rakyat yang menggunakan pengangkutan lain seperti kereta api, kapal, pesawat dan kereta,” katanya.
Jelas beliau, jumlah yang disifatkan besar itu berisiko memburukkan lagi penularan virus itu ke wilayah lain.

Beliau berkata walaupun sudah ada arahan dan gesaan oleh ketua daerah kepada perantau untuk tidak bergerak ke daerah lain, namun langkah itu dilihat tidak memadai.

“Memang sudah ada usaha gabenor dalam mengarahkan perantau di Jabodetabek untuk tidak bergerak (ke wilayah lain) dan saya minta usaha ini diteruskan, tetapi larangan-larangan seperti itu belum cukup.

“Perlu langkah-langkah yang lebih tegas untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan portal Detik.com, pemerintah juga turut menghalang penjawat awam dari pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di republik berkenaan.

Terdahulu, pelbagai pihak di Indonesia dilaporkan mendesak pemerintah pusat menguatkuasakan ‘lockdown’ atau perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan kes kematian akibat COVID-19 semakin membimbangkan.

Untuk rekod, Indonesia setakat Isnin mencatatkan 1,414 kes positif dan 122 kematian akibat COVID-19.

CATEGORIES
TAGS
Share This