Julie´s sasar jualan meningkat 15-20 peratus tahun ini

Julie´s sasar jualan meningkat 15-20 peratus tahun ini

PUCHONG,. Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar biskut jenama Julie’s menyasarkan pertumbuhan jualannya mencecah 15-20 peratus tahun ini, didorong oleh strategi syarikat untuk memperluas jangkauan pelanggan.

Pengurus Besar merangkap Ketua Jualan Julie’s, Joseph Lim berkata syarikat itu merancang untuk mengeksport ke 100 negara pada tahun ini berbanding 82 negara masa kini dengan sebahagian besar tumpuan pasaran baharu di negara sedang membangun termasuk Afrika dan Asia Barat.

“Selain itu, kami mahu meningkatkan kesedaran jenama ini di pasaran tempatan selain pasaran eksport sedia ada seperti Thailand dengan memasuki kawasan bandar serta luar bandar.

“Pasaran eksport kami juga mencatat prestasi baik seperti dirancangkan dengan pertumbuhan satu angka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen sambutan Tahun Baru Cina di pusat beli-belah IOI Puchong di sini, hari ini.

Lim berkata selain mengembangkan bilangan pengguna bukan dalam talian, platform itu serta e-dagang akan terus menjadi tumpuan syarikat serta seiring dengan aliran dan perubahan segmen Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FCMG).

“Pasaran secara dalam talian merupakan pasaran masa depan dan pelaburan dalam keseluruhan rantaian bekalan daripada logistik sehingga lokasi jualan adalah perlu. Ini juga bagi memastikan produk itu kekal relevan dan sentiasa dipertingkat,” katanya.

Malah, beliau turut menyifatkan pasaran halal sebagai saluran utama yang belum diterokai sepenuhnya.

Ditanya mengenai kemungkinan Julie’s disenaraikan di pasaran saham tempatan, Lim berkata ini bukan keutamaan syarikat itu yang masih berupaya menguruskan perniagaan serta berkembang secara organik.

Pada majlis itu, Julie’s mengumumkan tema sambutan Tahun Baru Cina – ‘Your Festive Indulgence,’ termasuk promosi biskut ‘Love Letters’ (biskut gulung) yang menawarkan ganjaran set pinggan mangkuk terhad untuk para pelanggan.

Promosi itu turut terdapat di platform dalam talian, Shopee.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This