Kain rentang provokasi, Pemuda UMNO Bagan Datuk buat laporan polis

Kain rentang provokasi, Pemuda UMNO Bagan Datuk buat laporan polis

BAGAN DATUK,. Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk membuat laporan polis berkaitan kain rentang provokasi mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang dipasang di sekitar pekan ini, sejak awal pagi tadi.

Ketuanya Mohd Rizan Razali berkata beliau telah mendapat maklumat mengenai pemasangan kain rentang tersebut kira-kira jam 7.30 pagi, dipercayai dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab, sebelum membuat laporan polis pada jam 3.30 petang tadi.

Katanya, kain rentang yang memaparkan muka Presiden UMNO dengan kata-kata provokasi itu dikesan di 17 lokasi termasuk tiga daripadanya di luar Bagan Datuk iaitu di Batak Rabit, Seberang Perak dan Jambatan Sultan Yusuf, Teluk Intan.

“Kain rentang ini dipasang dengan niat untuk menghina, mengaibkan dan memfitnah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

“Perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab yang bermotifkan politik bagi memberi persepsi buruk terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama wakil Wanita, Puteri dan Ahli Jawatankuasa bahagian Bagan Datuk di Balai Polis Hutan Melintang di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Rizan berkata beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tersebut.

Katanya, Ahmad Zahid juga telah dimaklumkan mengenai perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This