Kempen PRK Kimanis semakin ‘panas’

Kempen PRK Kimanis semakin ‘panas’

KIMANIS,. Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semakin dirasai apabila kempen PRK itu memasuki hari keempat hari ini, setelah proses penamaan calon selesai pada 4 Jan lepas.

Tinjauan Bernama mendapati suasana kempen yang tidak begitu rancak pada hari pertama kini mulai meriah dengan deretan bendera putih dan biru di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan di sini.

Jentera kempen kedua-dua parti politik yang bertanding mula memperhebatkan kerja-kerja menggantung dan memasang poster serta kain rentang yang memaparkan gambar calon serta logo parti masing-masing semenjak semalam.

Seorang petugas jentera Parti Warisan Sabah (Warisan), Azman Jamily, 30, berkata jentera parti mula memasang bendera sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, terutamanya di kawasan strategik seperti di jambatan dan kawasan tumpuan ramai.

“Kita mula awal (pasang bendera) kerana mahu dapatkan tempat paling strategik dan tempat yang sering dilalui oleh orang ramai…kita juga mahu dapatkan tempat sebelum parti lawan datang ke lokasi itu,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

SPR menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut – dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Kehangatan suasana kempen itu dirasai dengan calon-calon yang bertanding mengadakan pelbagai program turun padang dan ceramah bagi memenangi hati pengundi.

Platform ceramah digunakan sebaiknya oleh parti yang bertanding bagi menerangkan perancangan dan agenda yang bakal dibawa di samping menangkis serangan daripada pihak lawan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Beaufort mendapati PRK itu ternyata membuka pintu rezeki kepada peniaga di kawasan itu.

Peniaga makanan, Amanina Azman, 19, berkata permintaan untuk kepak ayam madu bakar dan pisang goreng yang beliau jual meningkat dua kali ganda sejak dua hari lepas.

“Ada pembeli yang datang dari luar…mungkin terlibat dengan PRK Kimanis. Waktu perniagaan saya ubah, saya membuka kedai lebih awal dan tutup lewat sedikit daripada kebiasaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan belum ada kesalahan pilihan raya yang direkodkan oleh Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) setakat hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata pihaknya menerima dua laporan berkaitan PRK Kimanis dengan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 33 permit kempen politik dikeluarkan polis bagi PRK tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This