Kes baharu COVID-19 kekal bawah paras 20,000

Kes baharu COVID-19 kekal bawah paras 20,000

KUALA LUMPUR,. Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini berada di bawah paras 20,000 selama lima hari berturut-turut, namun menunjukkan sedikit peningkatan apabila 17,476 kes dilaporkan semalam berbanding 15,941 kes pada Khamis lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata ia menjadikan kumulatif kes baharu kini 4,219,395 kes.

Beliau memaklumkan daripada 17,479 jumlah kes baharu dicatatkan semalam, 9,813 kes (56.15 peratus) merupakan kategori satu, 7,552 kes (43.22 peratus) kategori dua dan masing-masing 37 kes (0.21 peratus) bagi kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada 111 kes kategori tiga hingga lima, 22 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 45 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu semalam, 263 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 162 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, sebanyak 897 kes meliputi 429 kes daripada kategori tiga, empat dan lima serta 468 kes daripada kategori satu dan dua dimasukkan ke hospital semalam.

Sementara itu, beliau berkata 17,321 kes sembuh COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh yang direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,977,403 kes.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19, beliau berkata hanya Kuala Lumpur mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil ICU setakat semalam dengan 67 peratus manakala tiada negeri mencatat penggunaan melebihi 50 peratus bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 162 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu sebanyak 18 peratus,” katanya.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.87 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.07 dan Sabah kekal mencatat kadar paling rendah dengan 0.65.

Enam kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah kluster yang aktif kini 194. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This