Khabib enggan bertarung di UFC 249

Khabib enggan bertarung di UFC 249

LOS ANGELES,. Bintang seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov berkata dia tidak akan mengambil bahagian dalam siri kejohanan UFC yang dijadualkan pada 18 April kerana pandemik COVID-19.

Juara lightweight itu sepatutnya menjadi tarikan utama di UFC 249 di mana dia akan bertarung dengan Tony Ferguson, tetapi dalam status di laman Instagramnya dia berkata dia tidak sanggup meninggalkan Russia untuk perlawanan itu.

“Saya faham semuanya dan saya lebih kecewa berbanding anda kerana membatalkan pertarungan itu.

“Seperti orang lain, saya mempunyai banyak perancangan selepas perlawanan itu, tetapi ia bukan di bawah kawalan saya,” kata Khabib.

Ultimate Fighting Championship (UFC) sebelum ini menangguhkan tiga acaranya kerana gagal mencari venue untuk menganjurkan pertarungan susulan kawalan pergerakan bagi menangani pandemik COVID-19.

UFC masih belum memaklumkan venue pertarungan Khabib-Ferguson tetapi presidennya Dana White berkata pihaknya akan tetap mengadakan acara berkenaan. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This