KKM akan berkongsi data AEFI minggu depan – Khairy

KKM akan berkongsi data AEFI minggu depan – Khairy

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan (KKM) akan berkongsi data mengenai kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang disebabkan oleh penerimaan vaksin COVID-19 kepada umum bermula minggu depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkongsian AEFI untuk melegakan hati rakyat.

“Jadi anda boleh lihat jenis AEFI sama ada sakit kepala, demam dan sebagainya. Kita akan keluarkan sebagai sebahagian daripada komiten saya untuk memberikan ketelusan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini pada Rabu.

Beliau berkata tiada laporan mengenai kematian yang disebabkan oleh penerimaan vaksin COVID-19 diterima pihaknya sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan pada 24 Feb lepas.

Katanya setakat Isnin lepas (30 Ogos), sebanyak 34,455,366 dos vaksin telah diberikan.

Khairy berkata melalui sistem pelaporan AEFI, kadar laporan yang diterima melalui MySejahtera ialah 0.53 daripada 1,000 dos.

“Daripada jumlah ini, 0.04 per 1,000 dos dilaporkan sebagai serius AEFI dan majoriti kes serius hanya memerlukan kemasukan singkat ke hospital untuk pemerhatian dan rawatan.

“Kita telah melaksanakan pemantauan yang rapi terhadap kes-kes AEFI untuk memastikan bahawa vaksin yang kita bagi ini adalah selamat dan tak undang kemudaratan dari segi kesan sampingan,” katanya.

Beliau berkata selain mengenai AEFI, pelbagai data berkaitan COVID-19 akan dikongsi kepada umum secara terperinci minggu depan dalam usaha meningkatkan ketelusan KKM.

“Ini adalah data granular yang akan kita sediakan secara terbuka kepada semua untuk melihat lebih daripada data-data yang telah pun kita bekalkan selama ini.

“Saya telah buat ketetapan budaya kerja KKM selepas ni lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan respons KKM kepada pandemik ini, tidak lagi ada tuduhan kerahsiaan dan tuduhan maklumat yang tidak dapat kita peroleh daripada kerajaan,” katanya.

Khairy berkata sehingga 31 Ogos, sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima satu dos vaksin COVID-19 manakala 64.2 peratus populasi dewasa telah menerima dos lengkap.

Beliau berkata kadar liputan imunisasi COVID-19 bagi populasi dewasa yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan telah melebihi 90 peratus.

Katanya keberkesanan vaksin dibuktikan menerusi trend kemasukan pesakit ke hospital di negeri-negeri dengan liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak yang menunjukkan penurunan.

Khairy berkata trend penurunan kemasukan pesakit COVID-19 juga dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh iaitu sebanyak 53 peratus berbanding pada awal Ogos 2021.

“Sehubungan itu, saya ingin menjelas dan menegaskan bahawa vaksin COVID-19 yang digunakan dalam PICK adalah berkesan terutama bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang teruk,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This