Lajim Gesa Kerajaan Rangka Perancangan Jangka Panjang
KOTA KINABALU,. Pengarah Strategik dan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin menggesa Kerajaan Negeri merangka satu perancangan jangka panjang jika situasi Covid-19 di negeri ini berlanjutan lebih lama.
Sambil menyambut baik Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bagi membantu rakyat terjejas, beliau bagaimanapun mempersoalkan keberkesanan bantuan itu yang dilihat tidak mampu bertahan lama.
Katanya, beliau bimbang jika tidak ada apa-apa perancangan seterusnya dari Kerajaan Negeri kerana yang menjadi mangsa kelak adalah rakyat khususnya golongan miskin tegar dan tidak berkemampuan.
“Saya menyokong penuh pakej Bantuan Covid-19 Sabah ini, tapi sejauh manakah pakej ini dapat bertahan sekiranya penularan wabak ini berpanjangan atau pun tidak berakhir pada 14 April depan.
“Adakah bantuan dalam pakej ini diteruskan dan ini perlu difikirkan pihak kerajaan kerana yang akan menerima kesannya adalah rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
“Justeru, sewajarnya Kerajaan Negeri membuat persediaan sekiranya situasi wabak ini berlanjutan lebih lama,” katanya selepas menyampaikan bantuan air kepada petugas di Hospital Queen 1 sumbangan Perkis, di sini.
Dalam pada itu, Lajim yang juga Presiden Perkis mempersoalkan pendirian Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam isu pendatang tanpa izin (PTI) sama ada kumpulan ini turut dibantu semasa krisis Covid-19 ini atau tidak.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menetapkan orang ramai sentiasa berada di rumah namun golongan PTI yang ramai bekerja atau berada di negara ini secara haram turut terjejas kerana tidak dapat keluar mencari rezeki ekoran takut ditangkap.
“Bagaimana pendirian pihak kerajaan dalam isu ini..adakah mereka (PTI) juga dibantu atas dasar kemanusiaan atau dibiarkan saja..ini harus difikirkan kerana mereka berada di negara kita.
“Baru-baru ini, kerajaan telah mengambil langkah membantu orang-orang gelandangan yang terdiri daripada peminta sedekah dan sebagainya dengan menyediakan makan minum mereka sepanjang PKP ini.
“Bagi saya, mereka (PTI) manusia juga dan cadangan saya kerajaan harus berbincang dengan negara-negara kumpulan pelarian ini khususnya Filipina, Indonesia dan Rohingya bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.