Lelaki tempatan ditahan cuba seludup barang kawalan

Lelaki tempatan ditahan cuba seludup barang kawalan

TAWAU,. Seorang lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran Indonesia di kawasan perairan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama, di sini.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, anggota PPM yang menjalankan tugas rondaan menerusi Ops Benteng terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, semasa pemeriksaan dilakukan terhadap bot terbabit mendapati terdapat seorang lelaki, 30, bersama sejumlah barang kawalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit mendapati suspek membawa pelbagai barang kawalan antaranya 204 kilogram (kg) gula pasir, selain beberapa bungkus tepung jagung dan tepung pulut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang permit atau surat pembelian barangan kawalan berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Semua barang yang dirampas termasuk sebuah bot kayu bersama enjin sangkut 60 kuasa kuda (hp) jenis Yamaha dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM21,703.40 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This