Lima anggota polis cedera, lori rempuh sekatan jalan raya

Lima anggota polis cedera, lori rempuh sekatan jalan raya

KUALA LUMPUR,. Seorang pegawai kanan dan empat anggota polis cedera selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Syed Putra, pada awal pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, kejadian berlaku ketika kesemua anggota dan pegawai polis itu sedang mengemas peralatan sekatan jalan raya di jalan tersebut.

“Pada jam 12.45 tengah malam, kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun itu bergerak terus di lorong kiri dan hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta peronda polis dan sebuah motosikal yang diletakkan di bahu kiri jalan.

“Lori berkenaan kemudian terbabas dan melanggar seorang pegawai dan empat anggota yang sedang mengemas untuk menutup sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, kesemua pegawai dan anggota terlibat telah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

CATEGORIES
TAGS
Share This