Masa terbaik bagi APEC, ASEAN manfaatkan kekuatan, galak kerjasama inklusif – PM Thailand

Masa terbaik bagi APEC, ASEAN manfaatkan kekuatan, galak kerjasama inklusif – PM Thailand

KUALA LUMPUR,. Ekonomi anggota APEC dan negara anggota ASEAN digesa mewujudkan pautan antara inisiatif di bawah kedua-dua forum itu untuk memulakan fasa seterusnya pengembangan ekonomi.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha berkata dalam konteks COVID-19 ketika ini, pandemik itu telah menjejaskan kesihatan, keselamatan dan kestabilan, jaminan makanan serta bekalan barangan penting yang menyebabkan kerajaan-kerajaan terpaksa melaksanakan dasar yang bertentangan dengan nilai perdagangan bebas dan terbuka.

“Keperluan untuk melindungi rakyat daripada COVID-19 telah menghentikan hubungan dan menganggu perdagangan serta pelaburan yang merupakan penggerak penting kepada pertumbuhan dan kemakmuran. Perniagaan besar dan kecil bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup, ramai yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan dan semakin ramai orang yang berdepan cabaran kemiskinan.

“Ini adalah masanya bagi kita untuk memanfaatkan kekuatan APEC dan ASEAN bagi menggalakkan kerjasama inklusif yang menjadi pelengkap menggerakkan kerjasama yang saling memberi manfaat kepada kita,” katanya dalam ucap tama beliau bertemakan ‘ASEAN’s Place in APEC’s Future’, pada majlis Dialog CEO APEC 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Prayut menegaskan bahawa kedua-dua ASEAN dan APEC berkongsi objektif yang sama dalam menggerakkan pembangunan dan kemakmuran bersama bagi kehidupan rakyat di rantau ini ketika berdepan cabaran yang sama yang sebuah ekonomi tunggal tidak boleh menanganinya sendirian, termasuk kemelesetan, pandemik dan pencemaran alam sekitar.

Beliau juga menegaskan ekonomi anggota perlu menghubungkan semula rantaian nilai global dalam ekonomi pasca COVID-19.

Mereka perlu mengekalkan komitmen kepada sistem dagangan pelbagai hala, perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka, hubungan bersepadu dan lancar, terutamanya keperluan untuk memanfaatkan potensi ekonomi digital dan mempelbagaikan rantaian nilai global.

Beliau berkata APEC perlu terus maju kehadapan dengan kukuh, berdaya tahan, inklusif dan mampan ketika para pemimpin bersiap sedia untuk menyokong Visi Pasca-2020 forum antara kerajaan yang akan memberi panduan kepada ekonomi anggota bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Thailand akan mempengerusikan APEC pada 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This