Maxis catat keuntungan bersih tinggi RM320.0 juta pada suku pertama 2023

Maxis catat keuntungan bersih tinggi RM320.0 juta pada suku pertama 2023

KUALA LUMPUR,. Maxis Bhd merekodkan keuntungan bersih tinggi bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2023, kepada RM320.0 juta berbanding RM298.0 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Penyedia penyelesaian telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat berkata hasil juga meningkat kepada RM2.52 bilion daripada RM2.40 bilion.

Sementara itu, Maxis dalam satu kenyataan berkata hasil perkhidmatan meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 bilion dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) naik 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM541 juta, meskipun persekitaran operasi yang mencabar.

Menurutnya, hasil daripada pelaksanaan strategi telekomunikasi bersepadunya, syarikat itu dapat mencatatkan pertumbuhan dalam perkhidmatan kesalinghubungan talian tetap dan mudah alih bagi segmen pengguna dan perusahaan dan menambah baik margin keuntungan daripada kos operasi rendah.

Maxis juga mengumumkan dividen interim empat sen sesaham bersih bagi suku tersebut.

Memandangkan syarikat itu menyedari manfaat ekonomi 5G kepada Malaysia, ia berharap dapat menyediakan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G kepada pelanggannya tidak lama lagi dengan tumpuan kepada kemampuaaan dan penerimagunaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This