MNC labur jutaan dolar US dalam industri filem

MNC labur jutaan dolar US dalam industri filem

PETALING JAYA,. MNC Wireless Bhd (MNC) akan melabur “jutaan dolar US” dalam bidang baharunya – industri filem, susulan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat produksi dari New Zealand, Monfils Pictures Ltd.

Di bawah MoU yang dimeterai hari ini, penyedia penyelesaian teknologi digital yang disenaraikan di Pasaran ACE itu dan Monfils Pictures akan mewujudkan syarikat usaha sama (JV), dengan MNC dan Monfils, masing-masing memegang kepentingan sebanyak 51 dan 49 peratus, untuk menghasilkan dan memasarkan filem biografi mengenai Tim Page, seorang wartawan foto perang.

Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MNC Christopher Tan berkata pelaburan itu akan dibiayai melalui dana dalaman, dan pinjaman bank jika perlu.

Pada pemeteraian tersebut, Monfils Pictures diwakili oleh Pengasas, Pengarah dan Penerbit Harold Monfils dan disaksikan oleh Robbie Krishnan, yang dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Eksekutif MNC, berkuat kuasa 21 Sept, 2019.

MoU itu turut melibatkan pelaburan modal dengan hak harta intelek, dan untuk memulakan perbincangan dan rundingan mengenai butiran JV dari segi kerjasama yang termasuk pemilihan pelakon, penyelidikan dan pembangunan, skrip, suntingan, jadual penggambaran, pemasaran dan pengedaran.

“Perjanjian definitif yang berkaitan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan mulai hari ini,” kata Tan.

Mengenai alasan di sebalik bidang baharu itu, Tan berkata filem menjana wang melalui pendapatan domestik dan asing, selain penempatan produk dan pengagihan kandungan.

“Kita dapat menyaksikan filem-filem terkini di Malaysia yang menjana pendapatan kukuh berjumlah lebih RM250 juta,” katanya.

Penghasilan filem biografi itu dijangka selesai dalam tempoh dua tahun dan akan ditayangkan di pawagam dan platform digital lain.

Ditanya mengenai peranan Robbie dalam MNC, Tan berkata anak saudara ahli perniagaan Tan Sri Ananda Krishnan itu akan memudahkan dan membawa masuk perniagaan dalam segmen filem syarikat itu.

“Robbie mempunyai pengalaman antarabangsa selama lebih 15 tahun dalam industri filem dan telah menguruskan produksi berjuta-juta dolar dengan pasukan global.

“Beliau juga merupakan Penerbit Eksekutif Astro Measat Broadcast Network System yang menumpukan kepada pembangunan jenama dan kandungan,” katanya.

Mengenai perkembangan MoU yang dimeterai dengan unit milik penuh tidak langsung Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), SPNB Dana Sdn Bhd pada Ogos 2017, Tan optimis syarikat berada di landasan untuk merealisasikan perjanjian itu walaupun berlaku perubahan kerajaan pada Mei tahun lepas.

Di bawah MoU itu, MNC akan dilantik sebagai rakan kongsi penyelesaian teknologi SPNB Dana.

Tan juga terus positif mengenai prospek MNC walaupun mengalami kerugian bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2019, disokong oleh beberapa MoU, termasuk dengan M3 Technologies (Asia) Bhd, Sanichi Property Sdn Bhd dan Urban Setup Sdn Bhd.

“Kami masih membangunkan dan melabur dalam perniagaan tertentu, yang menjana aliran tunai positif yang membolehkan kami membiayai bidang baharu ini,” katanya.

Bagi tahun kewangan baru berakhir, MNC mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.39 juta daripada kerugian bersih RM699,000 pada tahun lepas, manakala perolehan meningkat kepada RM27.53 juta daripada RM16.36 juta sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This