Muhyiddin pengerusikan Mesyuarat PH Johor

Muhyiddin pengerusikan Mesyuarat PH Johor

MUAR,. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Johor sebagai persediaan untuk gerak kerja PH dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 Nov ini.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi PH Johor, tiba di Pejabat Bersatu Pagoh, dekat sini, pada pukul 9.50 pagi, disambut oleh beberapa pemimpin parti komponen dan barisan kepimpinan Bersatu Johor.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Mesyuarat yang dijangka bermula pada pukul 10 pagi itu dijangka membincangkan mengenai gerak kerja PH terutama dengan hari penamaan calon pada 2 Nov, berbaki 29 hari lagi.

Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu, dilaporkan berkata mesyuarat itu akan menentukan penyusunan struktur bagi memastikan keberkesanan jentera dalam usaha mempertahankan kerusi itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This