Pelajar wanita kerugian RM11,450 ditipu penyamar

Pelajar wanita kerugian RM11,450 ditipu penyamar

LABUAN, 16 Mei — Seorang penuntut universiti kerugian RM11,450 dipercayai ditipu sindiket yang menyamar sebagai anggota polis dan pegawai mahkamah, minggu lepas.

Ketua polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata pelajar wanita berusia 21 tahun itu menerima panggilan telefon pada pukul 6 petang, 8 Mei lepas daripada dua orang lelaki tidak dikenali menyamar sebagai anggota polis dan pegawai mahkamah Labuan.

Beliau berkata ‘pegawai’ berkenaan memaklumkan bahawa identiti pelajar itu digunakan oleh individu untuk membuka akaun membabitkan kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram, dan meminta pelajar itu memberi nombor akaun bank untuk diperiksa bagi mengelakkan tindakan dikenakan ke atas dirinya.

“Mangsa panik dan menurut sahaja arahan suspek dan segera memberitahu maklumat perbankan dalam talian, seperti nama pengguna dan kata laluan.

“Mangsa kemudiannya berasa seperti ada yang tidak kena, lalu memeriksa akaun bank dan mendapati berlaku transaksi wang ke akaun lain,” katanya.

Menurut Muhamad Farid kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This